Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim

PEKAN – Umat Islam diminta bersandarkankan pada hukum yang jelas apabila membincangkan unsur berkaitan perbezaan wang hasil haram dan perkara haram seperti babi dan arak.

Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, kedua-dua perkara tersebut ternyata berbeza dan perlu difahamkan sebaiknya agar pemahaman konsep berkenaan lebih jelas.

”Wang hasil haram daripada arak dan judi, berbeza daripada hukum perkara haram seperti babi dan arak. Pada binatang babi dan arak, zat barang tersebut adalah najis dan haram.

“Ia tak berubah kekal najis dan haram dimakan, kecuali arak yang tak diusik berubah menjadi cuka, maka ia halal.

”Jadi, wang hasil jualan arak dan judi, zat wang tersebut adalah suci, namun penggunaan wang hasil jualannya adalah haram kepada pemiliknya, walau zat wang itu adalah suci,” katanya.

Beliau berkata, pemilik mesti melepaskan hak milik wang tersebut kepada Baitulmal atau Kementerian Kewangan tanpa perlu mendapat apa-apa penghargaan.

Tambahnya, wang haram boleh diserahkan kepada kerajaan melalui Baitulmal atau Kementerian Kewangan untuk digunakan bagi manfaat umum.

Ini kerana wang tadi bertukar menjadi wang yang halal kepada baitulmal dan kerajaan berhak menggunakan wang tersebut untuk apa apa urusan.

“Penerima pula tak mengetahui pun sumber yang diperolehi dan diberikan oleh Baitul Mal kerana ia sudah bercampur.

”Pengurusan terbaik ialah mengasingkan wang tersebut untuk perkara yang kembali kepada faedah umum.

”Penerima sumbangan tidak diharuskan menerima sumbangan daripada syarikat judi dan arak jika terpaksa menghebahkan atau menyiarkan sumbangan mereka,” tambahnya.

Mufti Pahang itu menegaskan, perkara tersebut tidak diharuskan apatah lagi jika terpaksa meletakkan lambang atau logo penyumbang di mana hukum berkenaan terpakai pada syarikat, sekolah atau pemerintah.

“Namun persoalannya, bolehkan sekolah atau institusi menerima wang tersebut?

”Sekolah dan institusi bukan baitulmal yang mengubah wang tersebut menjadi halal digunakan, lebih-lebih lagi perbelanjaan sekolah dan institusi digunakan untuk orang orang kaya dan miskin. Ia dilihat seolah-olah masyarakat umum menerima penghasilan wang haram.

”Larangan lebih berat apabila, hadiah atau sumbangan itu sebenarnya penjualan hak promosi iaitu apabila institusi tersebut menayangkan logo syarikat arak atau judi sebagai syarat sumbangan, bahkan sebahagian daripada promosi tanggujawab sosial korprat syarikat tersebut,” ujarnya.

Katanya, keharusan Baitulmal menggunakan wang tersebut tidak bermaksud sesebuah negara boleh menggalakkan aktiviti judi dan arak.

Maka ujar Dr. Asmadi, sumbangan sebegini tidak diharuskan pada syarak.

”Sifat haram wang tersebut adalah untuk pemiliknya, manakala ia berubah sifat apabila masuk ke simpanan Baitulmal.

”Secara umumnya, wang haram termasuk wang judi, boleh digunakan untuk kemaslahatan umum seperti membina jalanraya, tandas dan sebahagian ulama membenarkan untuk golongan fakir miskin,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penglibatan Media sebelum ini melaporkan, sebuah sekolah rendah di Sepang, Selangor menganjurkan konsert amal dengan penglibatan sebuah syarikat minuman keras yang merupakan antara penyumbang. – MalaysiaGazette