Pemimpin Hamas Mustafa Muhammad Abu Ara meninggal dunia ketika dalam tahanan Israel Foto X

TEBING BARAT – Seorang pemimpin Hamas, Mustafa Muhammad Abu Ara, 63, dilaporkan meninggal dunia semasa berada di dalam tahanan Israel.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) memberitahu, Mustafa yang merupakan pemimpin Hamas di Tebing Barat, menghembuskan nafas terakhir selepas dipindahkan dari penjara di selatan Israel ke hospital.

Berita kematian allahyarham dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Badan Hal Ehwal Tahanan PA dan badan pemerhati, Kelab Tahanan Palestin.

Menurut Kelab Tahanan Palestin, Mustafa ditangkap pada Oktober tahun lalu, ketika beliau mengalami masalah kesihatan yang serius.

Menurut badan pemerhati itu, semasa dalam tahanan, Mustafa mengalami penyiksaan dan dibiarkan kelaparan.

Sementara itu, Hamas dalam kenyataannya menzahirkan dukacita terhadap pemergian pemimpin berkenaan.

Pergerakan Islam itu menganggap Israel bertanggungjawab ke atas kematian Mustafa kerana mengabaikan hak sesorang manusia untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Sebelum ini, PA menuduh Israel menjalankan ‘perang balas dendam’ yang zalim terhadap tahanan Palestin sejak permulaan perang di Gaza.

Namun, Israel menolak sekeras-kerasnya tuduhan mengenai penyalahgunaan sistematik tahanan dan mendakwa kononnya bertindak mengikut undang-undang antarabangsa.

Kematian Mustafa juga mengudang protes dalam kalangan penduduk di Gaza yang menganggap ia usaha Israel untuk menghapuskan pemimpin-pemimpin Hamas.-Agensi