Ab Rauf (tengah) menandatangai plak perasmian.

ALOR GAJAH – Politeknik Melaka yang beroperasi di Plaza Pandan, Malim di sini sejak hampir 20 tahun lalu akan dipindahkan ke Kuala Sungai Baru bersebelahan Universiti Islam Melaka (UNIMEL).

Naib Canselor Universiti Islam Melaka (UNIMEL) Prof Datuk Dr Taib Dora berkata, usaha itu kini di peringkat akhir perbincangan selepas kunjungan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang ke UNIMEL baru-baru ini.

Menurutnya, projek pembinaan fasiliti Politeknik Melaka dijangka akan dimulakan November ini dan dijadualkan siap dalam tempoh kurang setahun.

“Kita jangka projek atas tanah seluas 11 hektar bersebelahan UNIMEL yang dijual kepada Politeknik Melaka akan bermula pada November ini dan mengambil masa sekitar setahun untuk disiapkan.

“Jika terlaksananya projek ini kelak, ia bakal melonjakkan kawasan utara Melaka khususnya Kuala Sungai Baru sebagai hab pendidikan dan penyelidikan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Israr Corner, Perasmian Institut Kajian Tuah dan Majlis Menandatangani Surat Niat Bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-30 UNIMEL di sini semalam.

Perasmian disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Dr Taib berkata kedudukan pusat pengajian yang bersebelahan juga membolehkan UNIMEL dan Politeknik Melaka berkongsi beberapa kemudahan.

“Antara contoh fasiliti yang ada di UNIMEL seperti perpustakaan, stadium, bilik kuliah dan sebagainya boleh diguna pakai oleh pelajar Politeknik Melaka.

“Manakala Politeknik Melaka pula akan membina kemudahan lain seperti dewan besar dan makmal sekali gus membawa impak positif dalam bidang pengajian dan penyelidikan kedua-duanya dalam penggunaan teknologi tinggi,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast