Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melakukan gimik pelancaran Alhaya Fertility Centre diiringi Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF Group, Datuk Dr Colin Lee (tiga kiri) dan selebriti terkenal, Datuk Siti Nurhaliza (tiga kanan) di Hospital Pakar Damansara 2, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meminta netizen jangan menyalahkan Datuk Seri Siti Nurhaliza susulan kenyataan bertarung nyawa ketika melahirkan anak sulungnya dianggap berlebihan oleh sesetengah pihak.

Tunku Azizah sebaliknya memberitahu perkongsian yang dibuat kepada wartawan ketika sidang media merasmikan pembukaan Alhaya Fertility Centre di Hospital Pakar KPJ Damansara 2 semalam bukan didedahkan oleh Siti.

Namun baginda yang ingin berkongsi pengalaman penyanyi nombor satu itu.

“Bertenang, bukan Siti yang beritahu wartawan. Saya yang berkongsi cerita dengan mereka,” titahnya.

Tunku Azizah menjelaskan, salah faham itu ketika membalas komen salah seorang pengguna TikTok yang menganggap cerita seperti itu tidak perlu dijaja di media sosial.

Individu berkenaan menganggap perkongsian dibuat sebagai mengada-ngada – seolah-olah Siti seorang sahaja yang pernah mengalami kepayahan bersalin.

“Ala orang lain beranak 10 orang pun tak kecoh. Ini baru beranak Siti Aafiyah nak kecoh satu Malaysia,” tulis netizen itu.

Pada sidang media semalam, baginda bertitah, ketika proses kelahiran Siti berdepan komplikasi yang hampir meragut nyawanya.

Titah Tunku Azizah lagi, Siti tidak pernah mendedahkan perkara itu kepada sesiapa dan menyifatkan penyanyi itu masih hidup sebagai satu keajaiban.

“Siti masih hidup hari ini adalah keajaiban. Dia tidak pernah beritahu sesiapa, saya ceritakan kepada anda. Siti hampir kehilangan nyawa melahirkan Aafiyah,” titahnya.

Untuk rekod, Siti mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali Datuk K pada 21 Ogos 2006.

Selepas Aafiyah, 6, Siti menjalani rawatan IVF untuk anak keduanya iaitu Muhammad Afwa yang kini berusia tiga tahun. – MalaysiaGazette