Soraya Salim

KUALA LUMPUR – Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) menyelar pelbagai pihak yang cuba memperalatkan isu berkaitan derma dan tajaan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan sehingga menimbulkan sentimen kebencian antara kaum di negara ini.

Pengarah Komunikasinya, Soraya Salim berkata, isu itu sengaja diapi-apikan sesetengah pihak khususnya pembangkang yang mengambil kesempatan demi kepentingan politik sempit mereka menunggang sentimen ekstrim perkauman.

“Hakikatnya polemik ini tercetus akibat tindakan pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab menyebar fitnah dan maklumat salah yang diambil di luar konteks serta tidak berasaskan fakta sahih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sepang menerima sumbangan daripada syarikat minuman keras.

Ahad lalu, kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah berusia 30 tahun lalu, didapati turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.

Soraya juga berkata, kehadiran Ketua Awan, Datuk Aiman Athirah Sabu ke mana-mana program anjuran pelbagai pihak dalam kawasan Parlimen Sepang merupakan sebahagian tugas hakiki beliau selaku wakil rakyat.

“Sebagai Ahli Parlimen Sepang, ia menjadi keutamaan beliau berkhidmat untuk semua rakyat di mana beliau menyantuni segenap lapisan rakyat di kawasannya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Awan menolak fitnah jahat ke atas ketuanya oleh pelbagai pihak yang sengaja menangguk di air keruh demi mendapatkan mata politik picisan.

“Malah tiada keperluan untuk beliau melepaskan sebarang jawatan yang diamanahkan atas mandat jelas daripada rakyat.

“Semua pihak wajar menghormati keputusan Jemaah Menteri berhubung kutipan dana sekolah sekali gus menamatkan polemik yang tidak menguntungkan ini,” katanya lagi . – MalaysiaGazette