ahmad fadhli shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas membayangkan  mungkin tidak bersama Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan kecewa dengan pendirian parti itu yang menyokong isu derma syarikat arak kepada sekolah.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendirian rasmi yang dikeluarkan Gerakan dalam isu derma kepada sekolah daripada hasil arak sangat mengecewakan.

“Jika inilah yang selalu ditonjolkan oleh Gerakan, pada PRU16 nanti tidak mustahil kita tidak boleh bersama dengan parti itu dalam satu ikatan politik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Semalam media melaporkan, Gerakan senada dengan DAP supaya syarikat berkaitan arak atau rokok tidak dihalang untuk memberi dana kepada sekolah aliran Cina.

Beliau berkata, segala fasiliti dan kemudahan yang disifatkan terbaik yang dimiliki sekolah aliran Cina ketika ini adalah hasil sumbangan dana pihak luar bukan saja daripada syarikat besar, malah golongan peniaga kecil dan penjaja.

Dominic mengulas berhubung kontroversi derma daripada syarikat arak kepada sekolah yang dibantah banyak pihak kerana didakwa mempromosikan amalan tidak baik dalam kalangan pelajar selain bercanggah dengan garis panduan Kementerian Pelajaran (KPM).

Sebelum itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng turut membidas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya tidak menjadi ‘Menteri Pendidikan Pas’ ekoran pendirian tegas KPM tidak membenarkan sekolah menerima dana daripada syarikat berkaitan arak, rokok dan judi.

Dalam pada itu, Dominic turut menggesa isu tersebut tidak dipolitikkan atau dilihat dari sudut perkauman, sebaliknya hanya usaha untuk menyediakan pendidikan yang terbaik untuk generasi muda. – MalaysiaGazette

Jangan halang syarikat arak derma kerana dana Pusat tidak cukup – Gerakan