Mohammad Hardee Ibrahim.

KUALA LUMPUR – SME Bank hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim sebagai pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan bermula pada 3 September 2024.

Pelantikan itu dibuat kerana Datuk Aria Putera Ismail, akan menamatkan tempoh kontrak perkhidmatannya.

Mohammad Hardee kini menjawat jawatan Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank dan mempunyai lebih dari 20 tahun pengalaman dalam industry perkhidmatan kewangan, dengan kepakaran dalam perbankan perniagaan dan pengurusan
strategik.

Beliau telah berkhidmat dengan SME Bank dalam pelbagai portfolio termasuk perbendaharaan, kewangan korporat, perbankan perniagaan dan yang terkini strategi korporat.

Dalam pada itu, SME Bank merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail atas kepimpinannya yang luar
biasa

“Sepanjang enam tahun kepimpinannya, Aria Putera telah membuka laluan kepada SME Bank untuk memenuhi mandat dalam menyokong dan membangunkan PKS di Malaysia.

“Ini bermula dengan mentakrifkan semula visi, misi dan memperkenalkan nilai teras S.M.I.L.E. Pada tahun 2019, beliau memperkenalkan Pelan Percepatan Dua Tahun, satu pelan strategik untuk merombak perniagaan yang mengandungi 27 inisiatif yang memfokuskan pada matlamat pembangunan lestari, kualiti aset, ekosistem PKS yang komprehensif, pendigitalan serta pembangunan bakat dan mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai sebanyak RM213.9 juta pada 2019.

“SME Bank telah menunjukkan peningkatan yang luar biasa dalam kualiti aset dan pertumbuhan pembiayaan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette