Wendy Subramaniam

KUALA LUMPUR – Gerakan menghormati pendirian politik dan perjuangan Pas dalam isu arak tetapi percaya parti itu akan menghormati Malaysia sebagai negara berbilang kaum, yang mana setiap kaum harus saling memahami dan menghormati hak masing-masing.

Ketua Penerangan Parti Gerakan, Wendy Subramaniam berkata, beliau percaya hanya dengan perpaduan, negara dapat mencapai kemakmuran bersama.

Menurutnya, mana-mana parti yang ingin memenangi kuasa Pusat harus mendapatkan sokongan pengundi dari semua kaum dan menerima hakikat pembentukan masyarakat majmuk.

“Perikatan Nasional (PN) dari mulanya mengamalkan persefahaman kolektif dan kami percaya perdebatan ini mempunyai asasnya tersendiri,” katanya yang mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas yang kecewa dengan pendirian Gerakan dalam isu sumbangan dana syarikat minuman keras di sekolah.

Beliau menyifatkan kenyataan Ahmad Fadhli Shaari bersifat dan mewakili pendekatan peribadi.

“Kita hormat, akan tetapi kita ketengahkan pendapat kita. Adalah tidak dapat dielakkan bahawa parti-parti komponen akan mempunyai pandangan berbeza mengenai beberapa isu, dasar, atau kejadian, tetapi akhirnya, perkara tersebut harus dibincangkan dalam pimpinan tertinggi PN untuk mencari titik persamaan yang boleh diterima oleh semua,” ujarnya.

Isu arak: Tidak mustahil Pas enggan bersama Gerakan pada PRU16

Mengulas mengenai isu sumbangan daripada syarikat minuman keras, Wendy menekankan Gerakan tetap berpegang kepada pendirian bahawa Kerajaan Perpaduan harus melonggarkan garis panduan dan membenarkan sekolah-sekolah Cina bebas memilih rakan kongsi untuk menganjurkan aktiviti.

“Pendidikan perlu diutamakan, selagi bantuan tersebut tidak menganggu pelajaran anak-anak kita, maka selagi itu tidak salah kepada mana-mana sumbangan memasuki perkarangan sekolah, noktah,” tegasnya.

Beliau berkata, sekolah-sekolah jenis Cina terpaksa mengumpul dana sendiri disebabkan oleh peruntukan yang kurang mencukupi daripada pihak kerajaan, maka bagi keperluan perbelanjaan pembangunan, mereka terpaksa mendapatkan dana luar.

Wendy bersetuju bahawa parti PN mempunyai pandangan berbeza terhadap pendirian Gerakan dalam isu ini.

Lantaran itulah, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, memutuskan untuk membawa perkara ini ke mesyuarat pimpinan tertinggi PN dan bukannya membuat kenyataan sembarangan.

“Adanya pihak yang tak mampu jaga komponen sendiri, sampaikan setiausaha politik kena ketuk kepala mereka. Nasihat saya jangan cuba nak mengapi-apikan persefahaman dalam kalangan PN, “forget about it“. Kalau ada perbezaan, dalam PN kita duduk dan berbincang, serta selesaikannya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Jangan halang syarikat arak derma kerana dana Pusat tidak cukup – Gerakan