Seorang bayi perempuan berusia dua bulan patah kaki kiri disyaki didera pengasuh di Bandar Dato Onn, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Tahanan reman terhadap seorang pengasuh yang di Bandar Dato’ Onn di sini dilanjutkan tiga hari lagi bagi membantu siasatan seorang bayi perempuan dua bulan yang patah kaki disyaki akibat didera.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Superintenden Raub Selamat berkata, perintah reman yang dilanjutkan terhadap wanita berusia 36 tahun itu bermula esok hingga Rabu ini.

Beliau berkata, sebelum ini suspek telah direman enam hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kita telah mendapatkan kebenaran Mahkamah Johor Bahru di sini untuk melanjutkan tempoh reman selama tiga hari bermula esok hingga Rabu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan polis menahan pengasuh tersebut selepas ibu bapa bayi itu membuat laporan polis, Ahad lalu.

Ibu bayi berkenaan meluahkan kekecewaannya dalam media sosial selepas dia dan suami menyedari ada yang tidak kena pada bayi itu selepas mengambilnya daripada rumah pengasuh, sehari sebelum laporan polis dibuat.

Bayi berkenaan dikatakan sentiasa menangis terutama ketika lampin pakai buangnya ditukar malah enggan meminum susu.

Pasangan itu telah membawa anaknya ke hospital dan dimaklumkan pihak hospital bahawa bahagian peha bayi itu patah hasil imbasan sinar X yang dilakukan.

Wanita itu kemudian menelefon pengasuh bayinya bagi bertanya mengenai kecederaan berkenaan, namun wanita itu menafikan perkara itu sebelum pasangan itu bertindak membuat laporan polis.- MalaysiaGazette