Dua individu termasuk seorang yang bergelar Datuk direman kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu RM450 juta

KUALA LUMPUR – Dua individu termasuk seorang bergelar Datuk direman kerana disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu kira-kira RM450 juta.

Perintah reman yang dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi dikeluarkan Pendaftar Siti Roslizawati Mohd Zanin.

Menurut sumber, suspek yang bergelar Datuk berusia sekitar 60-an direman dua hari manakala seorang lagi suspek berusia sekitar 50-an direman lima hari sehingga 9 Mei ini.

Katanya, kedua-dua suspek lelaki itu telah ditahan kira-kira jam 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM450 juta yang menggunakan dana sukuk dan mendapatkan fasiliti dari sebuah pejabat wilayah dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.3 bilion.

“Tangkapan ini adalah susulan daripada tangkapan sebelum ini yang melibatkan tuntutan butir matan palsu bernilai kira-kira RM360 juta dan jumlah keseluruhan tuntutan palsu ini bernilai kira-kira RM800 juta,” katanya.

Suspek yang bergelar Datuk sebelum ini pernah ditahan reman selama empat hari pada 30 April hingga 3 Mei lalu membabitkan kes tuntutan palsu kira-kira RM360 juta.

Bagaimanapun beliau ditahan sekali lagi bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu yang kali ini melibatkan jumlah kira-kira RM450 juta.

Minggu lalu seramai lima individu telah ditahan reman berkaitan kes ini dan empat daripadanya telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM2009. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast