PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KLANG – Kegiatan jenayah kumpulan curi kenderaan dikenali sebagai ‘Geng Along Jep’ akhirnya tumpas apabila empat lelaki tempatan diberkas dalam satu siri tangkapan di sekitar daerah Klang Selatan sepanjang April lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd Zaini Abu Hassan berkata, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 40 tahun ditahan hasil risikan dan tindakan bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dari 10 hingga 30 April.

“Hasil analisis terhadap laporan polis dan maklumat awam, polis berjaya mengenal pasti corak kegiatan kumpulan ini yang dipercayai aktif sejak penghujung 2024.

“Mereka bukan sahaja beroperasi di Klang Selatan, tetapi turut bergerak di kawasan Klang Utara, Shah Alam dan Kuala Selangor,” katanya dalam sidang media di IPD Klang Selatan, hari ini.

Menurut beliau, kumpulan itu menyasarkan kenderaan lama keluaran Perodua dan Proton yang bukan untuk dijual atau dileraikan tetapi sebaliknya digunakan sebagai kenderaan harian sendiri.

“Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah yang serius. Malah, seorang daripada mereka mencatatkan 30 rekod jenayah dan 22 rekod berkaitan dadah.

“Ujian saringan awal mendapati keempat-empat mereka positif dadah jenis methamphetamine semasa ditahan,” katanya lagi.

Dalam operasi tersebut, polis turut merampas enam motosikal termasuk satu rangka serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan.

Siasatan mendapati modus operandi kumpulan itu adalah mengeksploitasi kecuaian pemilik kenderaan seperti meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin hidup atau kunci masih di dalam kereta.

“Mereka mampu mencuri dalam tempoh lima hingga 10 minit sahaja.

“Sasaran mereka bukanlah kereta mewah, tetapi lebih kepada kenderaan yang mudah dikendalikan dan digunakan untuk survival harian,” ujar Mohd Zani.

Dengan tangkapan ini, polis percaya berjaya menyelesaikan lapan kes curi motosikal dan sembilan kes curi kenderaan yang dilaporkan sebelum ini.

Kesemua suspek kini diserahkan kepada IPD Klang Utara untuk siasatan lanjut dan usaha membanteras jenayah seumpama ini akan terus dipergiatkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast