Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 JULAI 2024.

IPOH – Umat Islam disaran untuk menggalakkan aktiviti perbincangan dan membentuk persefahaman dengan masyarakat bukan Islam sebagai usaha menangkis pandangan Islamofobia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan berkenaan agama, budaya dan tamadun pihak lain adalah perlu bagi membentuk persefahaman merentasi masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia.

Katanya, masalah umat yang dihadapi ketika ini adalah kejahilan ekoran daripada perkara itu sehingga menyebabkan umat menghadapi masalah dalam mewujudkan pandangan atau wacana tanpa prejudis.

Umat Islam persefahaman bukan Islam tangkis Islamofobia anwar perbincangan masyarakat
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 JULAI 2024.

“Apabila bercakap soal tamadun, kita juga harus dipersalahkan. Bagaimana kita mampu bertahan dan hidup dalam negara berbilang kaum serta agama seperti di Malaysia ini daripada berbicara tentang agama, budaya, tamadun lain, dan kita menuntut Barat memahami kita.

“Oleh sebab itu saya berpandangan, penglibatan umat penting dalam usaha kita untuk meningkatkan fahaman orang lain kepada kita, dan begitu sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2024 (WCIT 2024) Kali Ketujuh di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, dekat sini, pada Isnin.

Persidangan bertemakan ‘Berdiri Bersama: Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat’ dan anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Kerajaan Negeri; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; serta Naib Canselor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.

Umat Islam persefahaman bukan Islam tangkis Islamofobia anwar perbincangan masyarakat
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 JULAI 2024.

Dalam pada itu Anwar memberitahu, walaupun zaman penjajahan telah berlalu, negara Barat masih mengekalkan ajaran lama yang mengakibatkan salah faham, kehilangan maklumat dan penolakan terhadap masyarakat lain.

Justeru ujar beliau, penganjuran persidangan yang melibatkan sesi dialog dan perbincangan seperti WCIT adalah langkah tepat dalam memahami masyarakat terhadap peradaban dan perkembangan Islam.

“Saya menyokong ikhtiar yanh dimulakan sekian lama ini, meneruskan wacana permasalahan Islam dan umat berhubung kebudayaan dan tamadun dengan tuntutan semasa masyarakat dunia.

“Sememangnya agama menuntut kita untuk belajar antara satu sama lain dalam meraikan perbezaan dalam terma bangsa, suku atau warna kulit,” katanya.

Dalam masa sama Perdana Menteri berkata, disebalik perkembangan kebebasan maklumat, kerajaan sedang berusaha memperkenalkan peraturan khusus agar ia tidak mendatangkan mudarat kepada mana-mana pihak.

“Walaupun ia bukan perkara yang popular, namun sesiapa yang percaya kepada kebebasan maklumat, setiap pandangan kita mempunyai kesan dan akibat kepada masyarakat.

“Cuba menafikan hakikat ini, (dilaporkan) seorang remaja perempuan telah menamatkan hidupnya akibat gejala buli (daripada siber),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast