KLANG – DAP sedia memberi bantuan kepada rakan komponen Perpaduan termasuk Barisan Nasional (BN) untuk memenangkan calon dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK).
Setiausaha Agung DAP, Anthony LokeĀ berkata, sekiranya khidmat mereka diperlukan, jentera parti pelbagai kaum itu sedia turun padang.
“Kita punya pendirian mudah, kalau kita diperlukan, kita pergi bantulah, kalau kita tak diperlukan, tak payah pergilah.
“Dalam semangat Perpaduan, kalau kita diminta untuk bantu, kita bantu seperti berlaku di PRK DUN Pelangai, kita turun kita jaga satu dua PDM.
“Kita deliver undi kepada calon BN yang selama ini mereka kalah di kawasan-kawasan tersebut termasuk Kampung Baru Cina,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah meminta DAP tidak hadir berkempen di Nenggiri menjelang PRK di Kelantan.
Razaleigh berkata, tiada sebab untuk pemimpin parti majoriti Cina itu untuk turun berkempen di kawasan yang 100 peratus Melayu.
Anthony berkata, kesediaan DAP membantu memenangkan calon BN dalam PRK DUN Nenggiri kerana jasa UMNO Selangor memenangkan calon mereka dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu.
“Semasa KKB kita juga dapat kerjasama yang baik daripada BN khususnya UMNO Selangor. Jadi mana-mana PRK, kalau kita diperlukan, kita turunlah.
“Kalau orang kata kita tak payah turun. Kita tak turunlah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette