Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir

IPOH – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneliti kedudukan pelajar Malaysia di Bangladesh yang pulang ke tanah air sama ada meneruskan pengajian di negara berkenaan ataupun menyambung pengajian mereka di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, bagaimanapun pihak kementerian akan melihat dari segi kelayakan, kedudukan, subjek serta perkara yang berkaitan dengan pengajian mereka sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, pelajar-pelajar terbabit akan diberikan kaunseling atau berjumpa dengan pegawai dari kementerian bagi mengetahui dengan lebih lanjut berhubungan kedudukan sebenar pelajar berkenaan.

“Kita telah pun mengarahkan (kementerian) supaya diambil langkah-langkah untuk berjumpa dengan dengan dengan mereka (pelajar) dan kita juga telah buat proses kaunseling. Saya turut mengarahkan supaya perbincangan diadakan dari segi ke mana arah  tuju mereka selepas ini.

“Kemungkinan juga sekiranya keadaan negara (Bangladesh) sudah kembali aman, mungkin ada dalam kalangan mereka yang akan pulang dan begitu juga sebaliknya.

“Jadi, kita akan tengok bagaimana kedudukan mereka pada ketika ini, apa pilihan mereka kalau mereka hendak sambung (pengajian) di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Makan Malam bersempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 kali ke-7 di Hotel Casuarina@Meru pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry memaklumkan ketika peristiwa Arab Spring berlaku dahulu, semua pelajar dari Malaysia yang menyambung pengajian di Timur Tengah telah diarahkan pulang ke tanah air.

“Di Arab Spring itu memang benar kita mengarahkan mereka balik dan sebab itu kita tengok kursus-kursus apa yang mereka buat.

“Bagaimanapun, buat sementara ini kita akan tengok keadaan di Bangladesh terlebih dahulu. Kita akan tunggu sehingga mendapat lampu hijau daripada pihak Wisma Putra seterusnya.

“Sebab kita apa pun yang kita hendak lakukan kita kena dapat maklum balas daripada Wisma Putra terlebih dahulu,” jelasnya.

Sebelum ini, dilaporkan ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai lepas ekoran keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018 dan kesan daripada demonstrasi itu mengorbankan lebih 130 nyawa.

Susulan itu, sebanyak 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar telah dibawa pulang dari Bangladesh menerusi penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu. – MalaysiaGazette