Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kawasan pedalaman Sabah menyumbang sebanyak 37.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran koko negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ada pekebun kecil di Keningau, Sabah yang mengeluarkan hasil tinggi koko sebanyak lebih 1,000 kg/hektar/tahun berbanding produktiviti nasional sebanyak 100kg/hektar/ tahun.

“Malahan, sebahagian biji koko dari kawasan ini telah menjadi pilihan dan dibeli oleh pengeluar coklat single origin dan beans-to-bar,” katanya ketika merasmikan Kursus Teknologi Pasca Tuai dan Pemantapan Kelompok Koko dan Mini Pemprosesan Koko Kampung Liau, hari ini.

Johari berkata, bagi menyokong pembangunan tanaman koko di pedalaman Sabah,
Lembaga Koko Malaysia (LKM) sedang melaksanakan beberapa program pembangunan seperti Program Pemulihan Kebun Koko, pembinaan Mini Pemprosesan Biji Koko serta menyampaikan teknologi pengurusan kebun koko melalui aplikasi teknologi IoT dan mekanisasi.

Mini Pemprosesan Koko Kampung Liau Ulu telah siap dibina dengan kos
sebanyak RM70,000 dan dimanfaatkan oleh seramai 80 orang pekebun kecil
koko di kawasan sekitarnya.

Menurutnya, mini pemprosesan koko ini menyasarkan pengeluaran sebanyak 100 tan
biji koko kering, dijangka mampu memberi keuntungan melebihi RM200,000
setahun berdasarkan harga masa kini.

Bagi meningkatkan dan menarik minat penglibatan golongan belia dalam
penanaman koko pula, LKM juga telah mewujudkan Kelab Belia Koko yang mendedahkan mereka dengan peluang menimba ilmu dan menambah pendapatan di dalam industri koko.

“Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan isu mengenai kekurangan tenaga kerja di sektor penanaman koko di masa hadapan,” ujarnya.

Industri Koko telah menyumbang pendapatan eksport sebanyak RM8.2 bilion pada tahun lalu,  jelas menunjukkan kepentingan industri ini dalam memangkin ekonomi negara.

Sehingga Mei 2024, pendapatan eksport industri koko telah mencapai RM4.8 bilion iaitu kira-kira 58% berbanding pencapaian tahun lepas. – MalaysiaGazette