Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA – Lebih banyak penempatan khas sementara untuk kanak-kanak warga asing, dikenali Baitul Mahabbah, akan dibuka bagi memastikan mereka tinggal dalam keadaan lebih kondusif.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua 1,300 kanak-kanak berkenaan yang tinggal di depoh tahanan imigresen akan dibawa keluar pada hujung tahun ini.

Beliau menjelaskan, usul itu akan dikemukakan kementeriannya menjelang Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada Oktober depan.

Menurut Saifuddin, kanak-kanak yang ditahan di Baitul Mahabbah diberi peluang mendapat pendidikan tidak formal selain dijamin penjagaan kesihatan diri.

“Jadi mereka ini boleh beraktiviti dan bermain dengan jauh lebih baik berbanding ditempatkan terus tahanan dewasa yang lain,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Buat masa ini, tiga Baitul Mahabbah telah beroperasi iaitu di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah dan Bekenu; Sarawak serta tiga lagi masih dalam perancangan iaitu di Kedah, Kelantan dan Johor membabitkan peruntukan RM10 juta.

Setiap Baitul Mahabbah boleh dihuni 300 kanak-kanak warga asing terdiri daripada mereka yang lahir di depoh tahanan imigresen atau ditinggalkan ibu bapa masing-masing ketika operasi imigresen.

“Kita ada 19 depoh tahanan imigresen yang mempunyai keupayaan mengisi 20,000 warga asing. Hari ini jumlah keseluruhan ditahan 13,000 orang atas pelbagai kesalahan termasuklah kes tanpa dokumen dan tinggal lebih masa.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,300 kanak-kanak bawah umur 18 tahun. Pada tahun lalu, kita laksanakan satu program untuk memindahkan mereka bersama penjaga ke premis lain dipanggil Baitul Mahabbah.

“Seramai 170 kanak-kanak sudah dipindahkan ke Baitul Mahabbah dan menjelang hujung tahun, kita jangka akan memindahkan paling kurang 350 kanak-kanak di bawah usia 10 tahun ke situ sebelum mereka pulang ke negara asal,” ujarnya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Anti-Pemerdagangan Orang Sedunia di Putrajaya.

Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan MAPO Integrated Data System (MIDS) yang dibangunkan KDN melalui bakat tempatan bagi memperkemas langkah kerajaan menangani jenayah pemerdagangan dan penyeludupan orang di negara ini.

“Ini sangat berguna untuk pembangunan sesuatu dasar yang lebih tepat. Dasar yang lengkap dan tepat boleh memberi kesan kepada keputusan dalam membendung jenayah pemerdagangan manusia di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan negara kini berada selangkah di hadapan dalam isu eksploitasi terhadap kanak-kanak selepas kerajaan meminda Seksyen 14 Akta ATIPSOM pada dua tahun lalu.

Menerusi pindaan itu, sebarang cara yang digunakan bagi tujuan eksploitasi terhadap kanak-kanak tidak perlu dibuktikan serta peruntukan hukuman lebih berat bagi kesalalahan memperdagangkan kanak-kanak sehingga maksimum 30 tahun pemenjaraan. – MalaysiaGazette