Kumar menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis dalam Perhimpunan Bulanan di Dataran Kawad IPK Johor, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Penipuan dalam talian merupakan penyumbang terbesar dalam kes jenayah komersial di negeri ini iaitu 88.9 peratus dalam tempoh penggal pertama tahun ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, kadar itu amat membimbangkan dan untuk itu menyeru masyarakat setempat serta pengamal media untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah tersebut kepada pihaknya dengan segera.

“Nasihat saya buat semakan dalam aplikasi semakmule CCID iaitu aplikasi untuk membuat semakan akaun bank dam nombor telefon yang digunakan sebelum membuat sebarang transaksi atau perhubungan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Perhimpunan Bulanan di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kumar berkata, sepanjang tempoh enam bulan pertama juga pihaknya berjaya menangkap seramai 12,678 individu atas pelbagai kesalahan dadah yang melibatkan rampasan sebanyak 2.76 tan dadah bernilai RM31.29 juta.

Antaranya kata beliau, membabitkan 13 sindiket pengedaran dadah yang berjaya ditumpaskan dengan rampasan dadah bernilai 27.74 juta dan sitaan pelbagai aset bernilai RM5 juta.

“Kita juga berjaya menahan 88 individu penagih berulang di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas Akta Dadah Berbahaya 1985,” ujar beliau.

Setakat ini katanya, menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, sebanyak 16,606 saman bernilai RM2.09 juta berjaya dikutip.

Kumar memberitahu, sepanjang tempoh itu polis juga membenteras kegiatan perjudian dan maksiat, sebanyak 1,146 kes dituduh di mahkamah dalam tempoh enam bulan pertama.

“Sebanyak 88 kes jenayah harta benda membabitkan kejadian pecah rumah dan curi kenderaan berjaya diselesaikan dan 36 individu telah dituduh di Mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah,” katanya.- MalaysiaGazette