MULA dilaksanakan sejak 2002, program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) iaitu salah satu inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) setakat tahun lalu merekodkan sebanyak 3,615,186 penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Jumlah penyertaan itu hasil daripada penganjuran sebanyak 173,525 program yang dijalankan secara jangka pendek meliputi 22 bidang kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di 105 buah kolej komuniti di seluruh negara.
Antara bidang yang paling mendapat sambutan masyarakat sepanjang penganjuran PSH itu termasuk katering dan sajian; komputer dan teknologi maklumat; perniagaan dan keusahawanan; teknologi elektrik; kulinari dan pastri.
Sambutan memberangsangkan daripada komuniti setempat itu membuktikan PSH berada pada landasan tepat dalam memperkasa pengetahuan, kemahiran dan kompetensi rakyat sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
Lebih menarik, seperti dijelaskan Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) KPT, Wan Marina Wan Mohd Nowalid, PSH merupakan inisiatif yang memudahkan rakyat apabila dibangunkan dengan konsep `anyone’ (sesiapa sahaja), `anywhere’ (di mana-mana) dan `anytime’ (pada bila-bila masa).
Ujar beliau, PSH itu dibuka penyertaannya kepada semua rakyat negara ini tanpa mengambil kira umur, kaum dan latar belakang ekonomi atau pendidikan.
Selain itu, katanya, program tersebut memberi tumpuan kepada enam kumpulan fokus antaranya belia, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), golongan B40 dan masyarakat Orang Asli.
Malah, tambah beliau, penyertaan pelajar tahfiz dan sekolah pondok juga adalah tinggi dalam kursus PSH sebagai nilai tambah dalam pelbagai bidang TVET.
Tidak ketinggalan juga, ujarnya, golongan suri rumah dan kakitangan awam daripada pelbagai jabatan dan agensi turut tidak melepaskan peluang meningkatkan kemahiran dengan menyertai PSH.
“Kursus di bawah PSH itu boleh diadakan sama ada pada hari bekerja atau hujung minggu mengikut persetujuan antara pihak kolej komuniti dan peserta.
“Sementara itu, bayaran kursus pula tertakluk kepada bidang dan tempoh kursus yang diikuti dengan bayaran yang rendah,” katanya.
Melangkah ke depan, PSH pada tahun ini diperkasakan lagi menerusi pelaksanaan Micro- Credentials (MC) iaitu pentauliahan mikro yang melayakkan komuniti melanjutkan pengajian melalui laluan Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).
Menjelaskan lebih lanjut, Wan Marina berkata, melalui inisiatif itu, JPPKK melalui kolej komuniti khasnya akan meluaskan akses kepada komuniti yang kurang atau tiada syarat kelayakan untuk menyambung pengajian melalui pentauliahan mikro bagi meningkatkan kelayakan akademik.
“Pelajar lepasan SPM yang tidak layak mengikuti program pengajian sepenuh masa misalnya, boleh mengikuti PSH menerusi pentauliahan mikro ini.
“Ini selaras dengan hasrat KPT untuk memperkasa peranan kolej komuniti sebagai institusi TVET terbaik dalam memberi peluang kedua kepada masyarakat,” katanya.
Menurut Wan Marina, bagi memperluaskan lagi keterlibatan orang ramai dengan PSH Kolej Komuniti, JPPKK sentiasa meningkatkan hebahan dan promosi khususnya menerusi media sosial.
Selain itu, katanya, hebahan turut diadakan menerusi penganjuran hari terbuka atau Karnival PSH di kolej komuniti dengan penglibatan masyarakat setempat selain perkongsian kejayaan alumni PSH dalam menjana atau meningkatkan pendapatan mereka.
“Maklumat lanjut berhubung PSH yang ditawarkan di kolej komuniti juga boleh diakses dalam pelbagai medium pada bila-bila masa dan di mana sahaja antaranya melalui laman sesawang www.mypolycc.edu.my.
“Selain itu, maklumat PSH juga boleh diperolehi melalui media sosial, media massa dan di semua kolej komuniti seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette