Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Had laju kenderaan ditentukan berdasarkan reka bentuk dan jenis lebuh raya dengan mengambil kira aspek keselamatan.

Penetapan itu digunapakai oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) selaras dengan piawaian antarabangsa.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, geometri lebuh raya direka bentuk berdasarkan had laju 120 kilometer sejam (km/j ) atau 100km/j dengan had laju yang diwartakan adalah lebih rendah iaitu 110km/j atau 80-90 km/j.

“Bagi lebuh raya antara bandar (inter-urban) seperti Lebuhraya Pantai Timur (LPT), had laju rekabentuk adalah 120km/j dengan had laju yang diwartakan adalah 110km/j.

“Manakala bagi lebuh raya dalam bandar (urban) seperti Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), had laju reka bentuk adalah 100km/j dengan had laju yang diwartakan adalah 90 km/j.

“Had kelajuan 110km/j di lebuh raya antara bandar (inter-urban) dan 80-90km/j di lebuh raya dalam bandar (urban) pada masa ini adalah memadai dan bersesuai dengan keadaan pemanduan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, Manolan Mohamad.

Manolan bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan had laju minimum untuk mengawal kesesakan di lebuh raya.

Untuk lebuh raya dua lorong sehala, lorong kiri adalah untuk kenderaan perlahan manakala lorong kanan untuk kenderaan yang mengikut had laju atau memotong kenderaan lain.

“Selain itu, faktor berlakunya kesesakan berpunca daripada peningkatan jumlah kenderaan yang kini melebihi kapasiti direka bentuk terutamanya apabila tiba waktu puncak atau musim perayaan.

“LLM dengan kerjasama syarikat konsesi lebuh raya akan sentiasa melaksanakan kempen-kempen kesedaran di media sosial untuk meningkatkan kesedaran orang awam.

“Kerajaan akan terus komited untuk memastikan kualiti infrastruktur lebuhraya berada dalam keadaan terbaik untuk kepentingan semua,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast