SUBANG – Perkhidmatan penerbangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang akan beroperasi semula bermula pada 1 Ogos ini selepas empat tahun dihentikan operasinya sejak 2022.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebanyak sembilan penerbangan harian yang memulakan operasi melibatkan enam syarikat iaitu Firefly, AirAsia Malaysia, Batik Air Malaysia, Transnusa. SKS Airways dan Scoot.
“Fasa Operasi Jet Interim (IJO) akan memperkenalkan semula operasi pesawat satu lorong dari lapangan terbang ini pada 1 Ogos buat kali pertama sejak 2022.
“Ini kerana sebelum ini semua operasi pesawat di Subang telah dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Ia bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan IJO bermula pada 1 Disember 2023 dan semua kerja fizikal telah siap secara praktikal pada 30 Jun 2024 mengikut jadual,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau melakukan lawatan kerja untuk melihat sendiri operasi perkhidmatan jet di LTSAAS.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan meluluskan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) pada Julai 2023 bagi membolehkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menaik taraf dan membangunkan LTSAAS serta kawasan sekitarnya seluas 1,179.5 ekar.
Menurut Loke, perkhidmatan pesawat di LTSAAS dilakukan secara interim kerana jumlah penerbangan yang ditawarkan adalah terhad kepada kekerapan satu penerbangan untuk setiap jam.
“Untuk permulaan, slot yang diberikan amatlah terhad, untuk operasi jet hanya satu penerbangan untuk setiap jam sahaja.
“Kita nak memastikan supaya tidak ada lambakkan penumbang terlalu ramai dalam kawasan terminal dalam satu-satu masa,” katanya.
Katanya lagi, perkhidmatan pesawat itu juga hanya untuk fasa interim sahaja dan operasinya dijangka untuk tempoh antara dua hingga tiga tahun sahaja.
“Apa yang lebih penting ialah kita nak membina terminal baharu dan meningkatkan kapasiti Subang Sykpark Terminal menjadi sebuah bandar lapangan terbang.
“Operasi interim ini penting untuk melihat sejauh mana operasi kita dapat berjalan dengan lancar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette