Mohd Jafni diberi penerangan ringkas berkenaan fungsi dan operasi sistem bayaran parkir digital yang diperkenalkan pihak MPKu bermula Ogos ini

KULAI – Penambahan kamera litar tertutup (CCTV), menaik taraf lampu isyarat pintar dan sistem parkir digital di empat kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam kawasan The Greater Johor akan diperluas bagi merealisasi hasrat menjadi bandar pintar yang selamat menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sebanyak 1,800 unit CCTV akan ditambah dalam kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

“Sebanyak 500 unit masing-masing akan dipasang dalam kawasan MBJB, MBPG dan MBPG manakala di kawasan pentadbiran MPKu pula sebanyak 300 CCTV sedang dilaksana secara berperingkat-peringkat sehingga tahun 2027.

“Pemasangan CCTV ini menjurus kerjasama PBT dengan pihak polis, kita akan ada satu ‘command center’ yang mempunyai pusat data di mana semua CCTV berkenaan akan dipantau PBT dan pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Pendigitalan Bayaran Parkir MPKu di Galeri MPKu, di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua MPKu, Mohd Fahmi Salam dan semua ahli-ahli MPKu.

Mohd Jafni berkata, pelancaran lampu isyarat pintar baharu juga akan dilaksana terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) yang mempunyai sistem dihubungkan terus menerusi telefon pintar untuk membuat aduan.

“Setakat ini sebanyak 33 lampu isyarat pintar sudah beroperasi semuanya. Menerusi sistem ini apabila berlaku kerosakan lampu isyarat orang ramai boleh membuat aduan terus dan kontraktor terbabit boleh melakukan segera kerja-kerja pembaikan,” katanya.

Bukan itu sahaja kata beliau, pihak polis juga akan menyiasat menerusi sistem tersebut apabila berlaku kes-kes jenayah selain merekodkan jumlah kenderaan yang keluar masuk dalam kawasan bandar.

“Sistem ini akan diselaraskan di semua kawasan lampu isyarat. Bagi pemasangan butang kecemasan di kawasan hotspot pula, sebuah kawasalan operasi pintar (SIOC) dijangka siap pada akhir tahun ini,” katanya.

Bagi sistem parkir digital di MBIP, MBJB, MBPG dan MPKu pula, beliau berkata, sebagai permulaan penggunaannya akan memudahkan orang awam termasuk mereka yang datang dari negeri lain seperti orang Singapura datang ke bandar terbabit dan penyeragaman satu aplikasi akan diguna pakai nanti.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kerajaan negeri akan menganjurkan Johor Smart City Day 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam, pada 6 Ogos ini.

Program yang akan dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu menyasarkan 5,000 peserta menampilkan barisan penceramah dalam dan luar negara untuk berkongsi pengetahuan serta amalan terbaik perancangan pembangunan bandar. – MalaysiaGazette