KUALA LUMPUR – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menunjukkan perkembangan positif selepas ia beralih ke tahap lebih tinggi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, ia terbukti apabila sektor berkenaan menyumbang RM613.1 bilion kepada ekonomi negara pada 2023.
Jelasnya, adalah sesuatu yang membanggakan apabila dapat mengatasi penunjuk makroekonomi utama lain iaitu Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), eksport, pekerjaan dan produktiviti.
“Saya ingin maklumkan terdapat pengurangan bilangan perusahaan bersaiz mikro sebanyak 16.9 peratus iaitu daripada 923,667 perusahaan pada 2022 kepada 767,421 perusahaan pada tahun lalu.
“Manakala bagi bilangan perusahaan bersaiz kecil pula meningkat 35.8 peratus dan bilangan perusahaan bersaiz sederhana bertambah 7.9 peratus,” katanya pada sidang media Prestasi PMKS Tahun 2023 di SME Corp Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau menambah, kementeriannya bersama agensi berkaitan terutama SME Corp Malaysia komited melaksanakan beberapa inisiatif bagi merancakkan lagi pembangunan PMKS di negara ini.
“Antaranya kita galakkan penyertaan PMKS dalam rantaian bekalan domestik dan global bagi tingkatkan kapasiti ke arah pengantarabangsaan.
“Malah kita turut sediakan peluang pembiayaan inklusif, meneruskan usaha menggalakkan penerapan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaan serta giatkan aktiviti keusahawanan di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Bagi menjayakan segala inisiatif itu, kementeriannya berharap PKMS akan diberi peruntukan lebih tinggi dalam belanjawan akan datang berbanding RM44 bilion yang disalurkan pada tahun ini.
Rentetan itu, Ewon berharap sasaran sumbangan PMKS sebanyak 41 peratus kepada KDNK pada tahun 2025 tercapai selari penetapan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). – MalaysiaGazette