MELAKA – Penganut agama selain Islam diingatkan supaya tidak menyentuh sensitiviti dan cuba melakukan provokasi terhadap Islam sebagai agama rasmi Malaysia.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman membuat kenyataan itu susulan kegiatan mempromosi aktiviti berkaitan agama Kristian di depan Surau Warisan, berhadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir di sini, yang tular sejak semalam.
Menurutnya, beliau memandang serius kejadian yang tular menerusi video berdurasi 16 saat memaparkan individu membuka reruai untuk mempromosikan kursus percuma Bible yang didakwa dianjurkan Sabtu lalu.
“Ini amaran tegas kepada agama selain Islam supaya tidak membuat aktiviti dakwah di hadapan surau, masjid, sekolah agama atau di tempat awam dan terbuka yang mempunyai ramai masyarakat Islam.
“Ia menjadi satu kesalahan walaupun perbuatan itu berlaku dalam tempoh singkat seperti kejadian Sabtu lalu yang diadakan antara 30 minit hingga sejam sebelum mereka beredar apabila dihalau orang awam di situ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan berdasarkan video yang dirakam pengayuh beca itu, dia mempersoalkan apakah niat dan kewajaran kumpulan itu membuka reruai mempromosikan Bible di hadapan surau pelancongan ikonik Melaka itu.
Tinjauan di ruang video mendapati, ia mendapat lebih 1,000 perkongsian dan 1,400 komen meminta pihak berkuasa menyiasat perbuatan yang seolah-olah mahu mencabar Islam sebagai agama rasmi negara.
Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata semakan dengan pihak polis mendapati, tiada sebarang laporan dibuat mengenai kejadian itu kerana individu terbabit menghilangkan diri sebaik ditegur masyarakat Islam sekitar.
“Saya mohon kepada mana-mana individu yang menyaksikan kejadian itu supaya segera membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat.
“Bagaimanapun, hasil semakan dengan gereja-gereja berhampiran mereka tidak mempunyai maklumat mengenainya yang mana kemungkinan ia dilakukan bersifat individu,” katanya.
Tambahnya, setakat ini pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan sekiranya risalah mempromosikan Bible itu diterima penganut agama Islam yang menjadi kesalahan di bawah Enakman Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam (Negeri Melaka) 1988.
Jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette