Kuwait Finance House Malaysia Bhd umum henti operasi di negara ini.

KUALA LUMPUR- Kuwait Finance House K.S.C.P. (Kumpulan KFH) mengesahkan akan berundur daripada pasaran Malaysia dan sekali gus menghentikan operasi Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad (KFHMB).

Bank itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan dibuat berdasarkan penilaian semula strategi perniagaan antarabangsa Kumpulan KFH yang mahu memfokus kepada pengembangan perniagaan di pasaran Asia Barat dan Majlis Kerjasama Negara-Negara Arab Teluk (GCC).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Ida Aizun Husin berkata, KFHMB adalah entiti yang masih mencatatkan keuntungan dan akan terus beroperasi dengan asas kewangan yang kukuh dalam proses peralihan ini.

“Fokus utama kami adalah untuk memastikan proses peralihan yang lancar kerana ia mencerminkan penghargaan mendalam kami kepada rakan kerjasama perniagaan di Malaysia.

“Proses ini tidak akan memberi sebarang gangguan perkhidmatan kepada pelanggan, pekerja, dan rakan kerjasama kami,” katanya.

Menurut beliau, bagi memastikan peralihan yang lancar, KFHMB sedang mempertimbangkan penjualan sebahagian segmen portfolio tertentu kepada pembeli yang berminat, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Katanya, keseluruhan proses itu akan mematuhi rangka kerja pengawalseliaan di Malaysia, termasuk pematuhan kepada prinsip-prinsip syariah.“KFHMB amat menghargai sokongan Kerajaan Malaysia serta pelbagai badan pengawalselia atas sokongan yang berterusan. Kami berharap hubungan yang kukuh akan terus berkekalan sepanjang proses peralihan ini.

“KFHMB akan terus memberi maklumat penting yang terkini kepada semua pihak yang berkaitan,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette