Kompleks Mahkamah Melaka

MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan pelatih di Sekolah Henry Gurney (SHG) empat tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Daniel Akmal, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Che Ku Rizal Faqimi Che Ku Ridzuan, 19, dengan niat hendak menyebabkan sesuatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan antara di Blok Hang Tuah, Sekolah Henry Gurney, Telok Mas dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 4.50 petang hingga 5.50 petang 28 Januari 2020.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan berkaitan dengan kehilangan nyawa manusia.

Peguam, Shareveen Krishnan yang mewakili tertuduh bagaimanapun hanya meminta suatu tarikh untuk serahan dokumen.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Hakim Azaraorni memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang jaminan.

Mahkamah menetapkan tarikh 2 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast