PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Selangor merampas 231 kenderaan pelbagai jenis dan jenama bernilai lebih RM27.45 juta dalam dua rampasan, di sini, pada 25 dan 27 Jun lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Selangor, Norlela Ismail berkata, kesemua kenderaan itu ditemukan di dalam 84 kontena bersaiz 40 kaki di Zon Bebas, Pelabuhan Utara, di sini.
Beliau berkata, dari jumlah itu, sebanyak 31 kenderaan yang dirampas itu merupakan kenderaan elektrik (EV) yang ditemukan di dalam 17 kontena bernilai RM4,792,000.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena telah menemukan sejumlah 31 kenderaan dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Mana-mana kenderaan perlu mendapatkan permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI),” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Selangor Zon Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.
Sementara itu, sebanyak 200 kenderaan mewah yang ditemukan di dalam 67 kontena pula bernilai RM22,660,000.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut telah menemukan sebanyak 200 kenderaan terpakai dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Jumlah duti dan cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM2,060,000,” katanya.
Katanya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen Seksyen 135(1)(a).
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih besar.
“Boleh dihukum denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barang itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – MalaysiaGazette