Mantan Presiden Akademi Sains Malaysia, Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail, dilantik sebagai Naib Canselor baharu Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).

KUALA LUMPUR – Mantan Presiden Akademi Sains Malaysia, Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail, dilantik sebagai Naib Canselor baharu Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).

IMU dalam kenyataanya berkata, pelantikan Asma dapat membantu IMU mempertingkatkan misi mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan penyelidikan selaras dengan usaha universiti itu yang sentiasa merangka laluan yang lebih inklusif terhadap kepelbagaian dan kedinamikan hubungan antara manusia dan planet.

Asma mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Profesor Dr Abdul Aziz Baba, yang memulakan perjalanan kerjayanya di IMU pada Julai 2013.

Asma mencipta sejarah dengan menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Selain itu, beliau juga mencatat sejarah apabila diangkat sebagai wanita Malaysia pertama yang menggalas tugas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Presiden Akademi Sains Malaysia, Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta Penasihat Sains Perdana Menteri dan negara.

Sementara itu, Canselor IMU, Tan Sri Datuk Dr Abu Bakar Suleiman dalam kenyataan sama berkata, beliau sangat berbesar hati menerima kehadiran Asma dalam membantu membentuk dan mentakrifkan semula aspirasi IMU bagi melangkah ke fasa baharu pendidikan penjagaan kesihatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast