Gambar hiasan

PILIHAN RAYA Umum (PRU) ke-15 telah membuka lembaran baharu dalam landskap politik Malaysia, terutamanya dalam konteks politik Melayu. Persaingan antara parti-parti politik Melayu seperti Amanah, UMNO, PAS dan Bersatu bukan sahaja mencerminkan perbezaan strategi dan kekuatan mereka, tetapi juga mencerminkan pelbagai kehendak dan keprihatinan pengundi Melayu. Setiap parti mempunyai pendekatan tersendiri dalam meraih sokongan, yang dipengaruhi oleh faktor-faktor geografi, demografi, dan isu-isu semasa yang relevan.

Artikel ini akan mengupas keupayaan dan cabaran yang dihadapi oleh setiap parti politik
Melayu serta mengupas persoalan terhadap masa depan politik orang Melayu. Keupayaan Parti Politik Melayu PRU-15 menunjukkan bahawa parti-parti politik Melayu mampu menang di kawasan yang berbeza walaupun berkongsi segmen pengundi yang sama.

Amanah berjaya di kawasan bandar dan kerusi campuran, sementara UMNO tetap menguasai kerusi Melayu di Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan. Sebaliknya, Pas dan Bersatu banyak memenangi kerusi di kawasan Pantai Timur dan bahagian Utara. Ini menunjukkan bahawa walaupun parti-parti ini berkongsi segmen pengundi Melayu, mereka mampu menarik sokongan di kawasan geografi dan demografi yang berbeza.

Isu-isu teras parti politik Melayu

Meskipun dengan kekuatan sebagai ‘parti politik Melayu’, namun jenama itu sendiri tidak cukup dalam memenangi hati dan undi daripada orang Melayu. Setiap parti politik ini menghadapi cabaran tersendiri dalam mempengaruhi pengundi Melayu. Antaranya, Amanah dilihat terus bergelut untuk meyakinkan orang Melayu tentang perjuangannya yang berasaskan Melayu-Islam kerana rakan sekutunya, DAP, sering kali dilihat sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Kebersamaan dengan DAP menjadi cabaran utama dalam meyakinkan pengundi Melayu.

UMNO pula menghadapi krisis integriti yang serius. Dengan Najib Razak masih di penjara, kes DNAA Zahid Hamidi yang kontroversial, serta pemecatan ramai pimpinan utama parti, UMNO bergelut untuk memulihkan imej dan kepercayaan dalam kalangan pengundi Melayu. Lain pula situasi di kem Pas, parti itu terus unggul dengan kemaraan Gelombang Hijau, menunjukkan kekuatan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu-Islam.

Pas berjaya mempromosikan dirinya sebagai parti yang mampu menjaga kepentingan Melayu-Islam meskipun tidak menunjukkan prestasi yang baik ketika menjadi Kerajaan Persekutuan dengan kegagalan parti tersebut membentangkan RUU 355, satu isu yang dijuarai dan selalu diulang oleh pimpinan parti tersebut. Ketidakupayaan negeri-negeri di bawah Pas bersaing dalam gelanggang ekonomi juga dilihat tidak menjadi faktor penting dalam pilihan pengundi parti itu.

Bersatu pula dilihat sebagai parti yang menumpang gelombang Pas tanpa identiti yang tersendiri. Sebagai parti serpihan UMNO, Bersatu masih belum dapat menunjukkan keunikan atau kekuatan tersendiri yang membezakannya daripada parti-parti lain.

Persoalan kritikal

Dengan situasi politik Melayu yang dinamik dan pelbagai ini, beberapa persoalan penting timbul. Adakah Amanah akan terus bergantung kepada Pakatan Harapan (PH) untuk meraih sokongan dan kekal menang di kerusi campuran? Adakah Pas akan terus menggantikan UMNO sebagai parti dominan di kalangan pengundi Melayu? Adakah Bersatu akan terus bergantung kepada Pas untuk kelangsungan politiknya dan sehingga bila Pas akan ‘menanggung’ Bersatu? Adakah UMNO akan tenggelam dengan kemaraan gelombang Melayu-Islam yang dibawa oleh Pas?

Kesemua persoalan ini membawa kepada satu persoalan yang lebih utama, bagaimanakah nanti masa depan politik orang Melayu?

Apa Melayu mahu?

Apa sebenarnya yang paling mustahak kepada orang Melayu? Adakah mereka lebih takut kuasa politik jatuh ke tangan orang bukan Melayu atau jatuh ke tangan ‘Melayu’ yang bukan pilihan mereka? Adakah cukup bagi orang Melayu untuk melihat parti pilihan mereka memegang tampuk kuasa namun dalam perihal ekonomi dan keharmonian antara kaum jauh ketinggalan? Adakah cukup bagi parti parti Melayu ini menang di kerusi majoriti Melayu untuk menjadi Kerajaan tanpa kerjasama dengan kaum lain?

Ketidaktentuan dalam landskap politik Melayu terus berlanjutan dengan cabaran dan peluang yang unik bagi setiap parti politik. Adakah parti-parti ini akan dapat mengatasi halangan yang ada dan mencapai kestabilan politik yang diinginkan oleh pengundi Melayu? Masa depan politik Melayu terletak pada keupayaan parti-parti ini untuk mendengar, memahami, dan memenuhi aspirasi pengundi mereka. Seperti PRU-15 yang telah membuka mata kepada pelbagai kemungkinan, PRU-16 pula akan menjadi penentu hala tuju politik Melayu, sama ada menuju ke arah inklusiviti dan kemajuan atau kekal dengan pola tradisional yang sedia
ada.

Persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini penting kerana kewujudan bersama parti Melayu penting sebagai semak imbang dalam isu berkaitan Melayu dan agama Islam. Ini juga mustahak kerana penglibatan parti Melayu dalam arena politik sepatutnya memberikan manfaat dan keuntungan kepada orang Melayu dari sudut ekonomi, pendidikan dan masa depan serta seterusnya menyumbang kepada keharmonian negara. Sebagai kaum majoriti, politik Melayu perlulah matang kerana ia akan mempengaruhi negara secara langsung mahupun tidak langsung. Maka penting untuk ada sebuah kajian yang dilaksanakan dalam melihat keupayaan serta masa depan parti-parti politik Melayu berkenaan. Artikel ini diharapkan dapat menjadi pencetus kepada kajian tersebut.

Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)