Imam Masjid Sultan Ahmad Shah Mohammad Hafizi Zilani mengimamkan hampir 1,000 jemaah menunaikan Solat Sunat Istisqa di Padang Majlis Perbandaran Pekan hari ini.

PEKAN – Musim kemarau berpanjangan di Pahang sejak kebelakangan ini telah menyebabkan sungai di negeri itu semakin kering dan cuaca panas.

Keadaan itu semakin merisaukan dan atas inisiatif, kira-kira 1, 000 penduduk di sini bersama-sama menunaikan Solat Sunat Istisqa (solat mohon hujan) di Padang Majlis Perbandaran Pekan seawal pukul 9 pagi tadi.

Kadi Daerah Pekan, Mohd Aris Jamin berkata, sambutan menggalakkan daripada jemaah dipuji walaupun pemakluman dibuat dalam jangka masa pendek.

Mohd Aris Jamin

”Jadi memang masanya singkat, dengan kesedaran muslim muslimat, tiada promosi cuma atas kesedaran untuk datang pada hari ini,  memang tidak jangka begitu ramai.

”Alhamdulilah, kita dapat mengumpul  pelajar sekolah, muslimat pun ada daripada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), penghulu-penghulu, jabatan hantar wakil masing-masing,” katanya.

Solat Sunat Istisqa’ dilakukan kira-kira jam 9 pagi tadi

Ujar Mohd Haris, usaha yang dilakukan itu perlu diserahkan kepada Allah dengan niat yang baik dan berharap hujan dalam masa terdekat.

Justeru beliau berharap agar masyarakat tidak berputus asa serta meneruskan berdoa memohon agar seluruh negara diturunkan hujan menamatkan cuaca panas.

”Syukur kita dapat laksana cuma kena sangka yang baik Insya-Allah walaupun tidak turun hujan masa ini, Allah Maha Mengetahui bila dan di mana hujan hendak turun.

”Yang penting, kita sebagai hamba, faham kita tidak mempunyai apa kekuatan kecuali Allah membantu kita dan Allah tidak pernah mengecewakan kita.

”Jangan kecewa, yakinlah Allah menerima dan kita tidak tahu bila, di mana tapi Allah pasti akan memberikan yang terbaik kepada kita,” jelasnya.

Solat sunat itu diimamkan oleh Imam Masjid Sultan Ahmad Shah, Mohammad Hafizi Zilani manakala khutbah dibacakan oleh Imam Masjid Sultan Ahmad Shah Al Haj Pekan, Mohd Lufti Mohd Bashir.

Imam Masjid Sultan Ahmad Shah Mohammad Hafizi Zilani (kiri)  manakala dan Imam  Masjid Sultan Ahmad Shah Al Haj Pekan Mohd Lufti Mohd Bashir (kanan).

Terdahulu, Mohd Lufti ketika menyampaikan khutbah berkata, walaupun cuaca panas boleh dijelaskan secara sains tetapi yang berkehendak untuk menjadikan cuaca panas ialah tuhan.

“Allah berkuasa untuk menurunkan hujan dan menahan hujan daripada turun. Maka marilah bertakwa kepada Allah dan insaflah betapa mungkin kepanasan ini adalah sebagai salah satu amaran dan peringatan Allah kepada kita semua,” katanya.

Solat sunat Istisqa dilakukan sebagai menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar solat hajat dilaksanakan di semua masjid dan surau di negeri itu.

Susulannya, Jabatan Mufti Pahang menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menyeru rakyat Pahang untuk melakukan solat Istisqa di kawasan daerah masing-masing.

Media juga melaporkan fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September depan di beberapa negeri termasuk Pahang.

Susulan itu, air Sungai Pahang surut terlalu rendah disebabkan kurangnya taburan hujan di kawasan hulu mengakibatkan beberapa kawasan sungai terbabit di daerah negeri ini mengalami penyusutan aras air sungai yang sangat ketara. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sultan Pahang titah semua masjid laksana solat mohon hujan

Hujan lebat selepas solat Istisqa di Kampung Pesagi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast