Mohamad Halim Ahmed (memakai pelitup muka) di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperdaya pendahulunya empat tahun lalu.

Mohamad Halim Ahmed, 57, yang ketika kejadian adalah Setiausaha Bahagian Maritim di Kementerian Pengangkutan didakwa memperdaya Ketua Pengarah Laut ketika itu, Baharin Abdul Hamid dengan mengeluarkan surat dikatakan daripada Kementerian Pengangkutan.

Menerusi surat bertarikh 27 Oktober 2020, Halim didakwa memaklumkan menteri pengangkutan ketika itu memutuskan bahawa tempoh syarikat perkapalan yang diberikan pengecualian menghantar minyak gred berat di perairan Malaysia perlu dikekalkan mengikut tarikh diluluskan.

Sedangkan, sebenarnya tiada kelulusan sedemikian diberikan.

Surat itu mendorong bekas KP JLM berkenaan mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang membawa kepada hukuman penjara lima tahun atau denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diwakili oleh Ahmad Feisal Mohd Azmi.

Manakala tertuduh diwakili peguamnya, Farhan Read.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim, Datuk Anita Harun menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000.

Sebelum itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan jaminan antara RM50,000 hingga RM70,000.

Namun, Farhan berkata, jumlah tersebut tidak setimpal dengan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya kerana tidak melibatkan sebarang kerugian.

Hakim turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa, melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor, selain tidak boleh menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamahmenetapkan 7 Oktober sebagai tarikh pengurusan kes dan serahan dokumen.-MalaysiaGazette