Kumpulan Houthi. Gambar media sosial

SANAA – Pembunuhan ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh meningkatkan pertempuran kepada skop lebih luas yang akan mengakibatkan keadaan lebih dahsyat kepada Tel Aviv.

“Penglibatan musuh jenayah dalam menyasarkan Haniyeh telah meningkatkan pertempuran ke skop yang lebih luas dan dimensi yang lebih besar, yang akibatnya akan dahsyat bagi musuh, insya-Allah.

“Dengan izin Allah, kami tidak akan berputus asa, dan bekerjasama dengan saudara-saudara kami di ‘Paksi Perlawanan’ dalam membalas dendam kepada syuhada dan semua syuhada serta ketidakadilan yang dialami oleh rakyat Palestin,” kata pemimpinya, Sayyed Abdul Malik al-Houthi menerusi saluran TV Al-Masirah.

Pada 20 Julai lalu, Israel melancarkan serangan udara ke atas tangki bahan api dan stesen janakuasa di pelabuhan Al Hudaydah di barat Yaman sebagai tindak balas terhadap pembunuhan seorang Israel dalam serangan dron Houthi di Tel Aviv pada 19 Julai.

“Jenayah menyasarkan Haniyeh akan menjadi motivasi yang lebih besar untuk menghukum musuh jenayah,” tambah al-Houthi.

Pada pagi Rabu, Hamas mengesahkan kematian Haniyeh dalam serangan udara Zionis di kediamannya di Tehran, selepas beliau menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, pada hari Selasa.

Televisyen negara Iran mengesahkan kematian Haniyeh dan berkata “penyiasatan sedang dijalankan terhadap pembunuhan itu, dan keputusannya akan diumumkan tidak lama lagi.”

Tentera Israel enggan mengulas mengenai pembunuhan Haniyeh.

Israel, yang mengingkari resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera, telah menghadapi kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan berterusan ke atas Gaza sejak serangan 7 Oktober 2023 oleh Hamas.

Sekurang-kurangnya 39,445 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 91,000 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. – Agensi