IPOH – Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mengesahkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Interim kelab bola sepak itu, Bobie Farid Shamsudin.
Abdul Azim dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pihaknya mewakili pengurusan tertinggi, staf kejurulatihan, para pemain serta pegawai Perak FC, mengucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen, kepimpinan dan usaha Bobie Farid sepanjang tiga musim.
Menurut beliau, Bobie Farid telah memikul tanggungjawab berat itu dengan penuh ikhlas tanpa sebarang bayaran gaji mahupun imbuhan, dalam usahanya membantu XOX mengendalikan Perak FC sejak pengambilalihannya pada 2022.
Abdul Azim berkata, bagaimanapun malangnya, disebabkan beberapa perkara, ketika ini hasilnya tidak dicapai seperti yang semua pihak inginkan.
“Dengan dukacitanya kami mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Interim Perak FC, Bobie Farid telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dengan serta merta.
“Sebagai entiti swasta yang tidak pernah terlibat dalam bola sepak, kami di pihak pengurusan pastinya telah melakukan banyak kesilapan,” katanya.
Abdul Azim berkata, pihaknya sentiasa percaya, setiap kelemahan boleh diperbaiki dan ini merupakan keluk pembelajaran untuk kami.
“Namun begitu, kami sedar betapa pentingnya sokongan peminat dan kami sedar sepenuhnya bahawa apa yang peminat mahukan adalah pasukan yang kompetitif dan mampu beraksi di tahap tertinggi.
“Kami memulakan musim Liga Malaysia 2024-2025 dengan penuh optimistik malah tiada siapa yang menjangkakan apa yang kita lalui sekarang,” katanya.
Jelas beliau lagi, pihak pengurusan Perak FC dan XOX ingin menegaskan sekali lagi komitmen terhadap usaha dalam memulakan musim Liga Malaysia 2024-2025.
Katanya, kelab bola sepak itu merupakan aset awam, dan walaupun tanggungjawab terletak kepada pihaknya sebagai pemegang saham dan pemilik, Perak FC akan terus memperbaiki kelemahan untuk baki musim ini.
“Keutamaan ketika ini adalah memastikan kelab kekal stabil. Dengan itu, pihak pengurusan juga telah mengambil keputusan bahawa tiada lagi sebarang perubahan dalam struktur pentadbiran kelab.
“Fokus kami ketika ini adalah untuk memastikan Perak FC menamatkan Liga Super musim ini di kedudukan terbaik serta berusaha untuk layak sejauh mungkin di Piala Malaysia nanti,” katanya.
Abdul Azim berkata, Perak FC telah wujud selama lebih 100 tahun.
“Sebagai pemilik kelab, kami tidak akan membiarkan prestasi si buruk ketika ini menjejaskan sejarah dan kejayaan yang pernah dicapai kelab pada masa lalu.
“Sekali lagi kami memohon sokongan anda dan menantikan kehadiran Harimau Selatan pada perlawanan seterusnya,” katanya.
Terdahulu Malaysia Gazette melaporkan Bobie Farid atau lebih dikenali sebagai Ariesham mengumumkan peletakan jawatannya pada 31 Julai lalu.
Keputusan mengejutkan itu dibuat menerusi Facebooknya sebaik Perak FC tewas kepada Kuching City FC. -MalaysiaGazette