GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) menggesa kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam semua urusan termasuk penyampaian maklumat kepada orang awam di media sosial.

Presiden PEMENANG, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, bahasa Melayu adalah bahasa utama dalam sistem pentadbiran negara dan tiada alasan bahasa itu perlu dialihbahasakan untuk difahami oleh rakyat di negara ini.

“Kita dapati masih ada beberapa isu dibangkitkan orang awam berhubung pengguna bahasa Melayu oleh kerajaan negeri dalam menyampaikan maklumat kepada orang awam.

Mohd Yussof Latiff.

“Terbaharu mengenai peta jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) yang bakal dibina di sini yang mana hanya terdapat dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Yussof berkata, kerajaan negeri seharusnya mendidik rakyat untuk membaca dan menulis dalam Bahasa Kebangsaan supaya rakyat diasuh memahami bahasa tersebut.

“Adalah mendukacitakan jika masih terdapat rakyat kita yang tidak boleh membaca dan bertutur dalam Bahasa Kebangsaan sehingga Kerajaan terpaksa menyiarkan maklumat dalam Bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris.

“Kita tidak perlu bimbang untuk mengalih bahasa kepada rakyat Malaysia dalam menyampaikan maklumat rasmi kerana setelah 67 tahun negara mencapai kemerdekaan, PEMENANG yakin semua rakyat negara ini tanpa mengira kaum sudah boleh membaca serta menulis dalam bahasa rasmi negara.

“Usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan sebenarnya terkait rapat dengan sejarah peradaban bangsa yang pernah diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila pakar sejarah bersetuju bahawa Bahasa Melayu merupakan lingua franca yang digunakan dengan meluas lebih 300 juta penduduk rantau ini,” ujarnya.

Terdahulu tular rakaman video menunjukkan peta jajaran LRT yang bakal dibina di Pulau Pinang hanya memaparkan bahasa Mandarin dan Inggeris sahaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast