Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Ibu Pejabat GXBank dan Pusat Kecemerlangan di First Avenue, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 2 OGOS 2024

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau bakal bertemu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin di Vladivostok dalam masa terdekat ini.

Perdana Menteri berkata, pertemuan dijangka berlangsung di Vladivostok itu adalah atas jemputan Putin.

Menurut beliau, ia bagi membincangkan isu kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara sekali gus membuktikan Malaysia berpendirian tidak memusuhi mana-mana negara.

“Beberapa minggu lagi saya akan ke Vladivostok, di pinggir Russia untuk menerima undangan Presiden Putin bagi berbincang soal kerjasama ekonomi.

“Meletakkan kita sebagai antara negara yang pertahankan pendirian kita yang bebas dan tidak mengambil sikap untuk bermusuh dengan sesiapa.

“Prinsip kita adalah jelas, tetap pertahankan kebebasan, tolak kezaliman, tidak mengizinkan mana-mana negara kelompok menindas, menghina dan membunuh rakyat kita yang tidak berdosa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat GXBank & Pelancaran Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan Perkongsian Serantau di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Tengku Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Sebelum ini, Putin dilaporkan media berkata, Rusia berusaha untuk muncul sebagai sebuah daripada empat ekonomi terbesar dunia dan ketika ini adalah sebuah daripada lima negara teratas dunia dalam kesetaraan kuasa membeli.

Mengulas lanjut, Anwar berharap transformasi digital di negari ini perlu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat agar industri perbankan dapat bergerak lebih pantas dan maju serta ekonomi dapat dipacu dengan segar.

Perdana Menteri berkata, apa jua perubahan yang berlaku tidak sepatutnya tidak terhambat dan terhalang dengan cabaran lama.

Apatah lagi menurut beliau, semua prasana telah disediakan oleh kerajaan bagi memastikan dasar negara ini lebih terbuka. – MalaysiaGazette