PEKAN – Seakan tahu ajal dijemput bersama, kedua beradik mangsa yang maut akibat dirempuh treler sempat pergi bercuti kali terakhir pada Khamis lalu.
Allahyarham Nurnazzatul Fashihah Nasruddin, 32, dan Allahyarham Mohd Waldon Faris Nasruddin, 21 bercuti di Pantai Batu Buruk dekat Terengganu dua hari sebelum tragedi.
Adik kepada Nurnazatul, Mohd Naim Nasuddin, 30 berkata, detik itu merupakan kali pertama kakak dan adik bongsu bercuti berdua bersama-sama.
“Sebelum ini kakak dan adik tak pernah cuti bersama. Ini kali pertama mereka pergi bercuti ke Terengganu baru-baru ini.
“Mereka sempat pergi makan dan menghantar gambar berdua kepada saya.
“Kali terakhir saya bercakap dengan kakak jam 8 malam sebelum kejadian,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mohd Naim yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik berkata, mereka sangat akrab dan selalu berkongsi aktiviti sesama ahli keluarga terutamanya bab pelancongan dan makanan.
Nurnazzatul merupakan anak tunggal perempuan dalam keluarga pulang ke rumah setiap cuti rehat dan menyewa sebuah bilik di Maran kerana bertugas di situ.
Tambah Mohd. Naim, sebelum bercuti ke Terengganu, arwah Nurnazzatul sempat menunaikan impian untuk bertemu ibu angkat dan kenalan di Kelantan.
Nurnazzatul merupakan Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Maran yang baru bertukar ke negeri ini selepas memulakan perkhimatannya di Tanah Merah, Kelantan.
Menurut Mohd Naim, kakaknya memang sukakan dunia kebajikan dan rezeki berpihak kepadanya apabila dapat berkhidmat di jabatan itu sejak lima tahun lalu.
Manakala adik bongsunya memulakan perkhidmatan menggunting rambut sejak tiga tahun lalu.
”Arwah Nurnazzatul berkhidmat di bahagian bencana di PKMD Maran sejak tahun ini dan pernah berkhidmat di Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajah Kalsom di Penor ketika praktikal dan di bahagian warga emas di Kelantan.
”Kali ini kakak cuti lama dan pergi ke Kelantan menaiki bas menziarahi keluarga angkat, kemudian Acu (arwah Mohd. Waldon Faris) datang ke Terengganu mengambilnya dan bercuti bersama-sama pada Khamis.
“Lepas ini tiada lagi Acu yang suka menggunting rambut. Hanya dia adik yang mempunyai kemahiran seni selain suka main gitar di bilik,” tambahnya.
Terdahulu seorang pemandu treler yang merempuh sebuah rumah di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan pada kejadian 4.15 pagi Sabtu sehingga menyebabkan kematian dua beradik.
Mangsa, Nurnazzatul Fasiha Nasruddin, 32, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris Nasruddin, 21, meninggal dunia di hospital jam 1.30 tengah hari.
Tiga lagi mangsa iaitu ibu bapa mangsa, masing-masing berusia 60 dan 54 tahun serta seorang rakan kepada Mohd Waldon Faris berusia 19 tahun cedera ringan.
Mengulas lanjut Mohd Naim berkata ibu bapanya semakiin stabil dan akan menjalankan pemeriksaan lanjut pada hari ini.
Mereka sekeluarga masih terkejut akan kehilangan dua ahli keluarga serentak namun redha atas ketentuan takdir pemergian Nurnazzatul dan Mohd Waldon.
Sementara itu abang sulung Mohd Fakhrul Hafis Nasruddin, 35, berkata kali terakihir bertemu Nurnazzatul ialah pada Ahad lalu.
Beiau masih dalam keadaan terkejut menerima kehilangan keduanya namun terpaksa kuat bersama Mohd Naim demi orang tuanya.
”Saya masih terkenang kedua-dua adik, tak tahu nak cakap macam mana,” katanya sebak.
Jenazah kedua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lepar Hilir pada 4.50 petang semalam selepas selesai proses bedah siasat dan pengurusan jenazah.
Semalam Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang Datuk Sabariah Saidan menziarahi ahli keluarga mangsa nahas di Kampung Ketapang Hilir, di pekan dan menghulurkan sumbangan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Pemandu treler rempuh rumah direman empat hari
Treler rempuh rumah, seorang lagi meninggal dunia
Wanita maut lori treler rempuh rumah