Teo Nie Ching (tengah) bersama penerima dalam Program Sumbangan Pelajar Cemerlang Peringkat Parlimen Kulai di SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, hari ini

KULAI – Penyedia dan Pengendali media sosial setakat ini memberi kerjasama baik terhadap kerangka kawal selia dan perlesenan perkhidmatan platform berkenaan yang akan diperkenalkan pada 1 Ogos tahun depan.

Timbalan Kementerian Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, mereka semua sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan kerajaan memberi tempoh lima bulan sebelum tarikh penguatkuasaan pada 1 Januari ini agar memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Tiada perkembangan terbaharu, tarikh akhir untuk mereka dapatkan lesen adalah 1 Januari 2025, jadi setakat ini memang semua platform penyedia sudah tahu tentang perkara ini, bahawa mereka sudah tidak lagi dikecualikan untuk mendapatkan lesen.

“Kami beri mereka tempoh sepanjang lima bulan untuk memenuhi syarat-syarat yang diperlukan bagi mendapatkan lesen, antaranya adalah menubuhkan atau operasi syarikat di Malaysia

“Menteri Komunikasi (Fahmi Fadzil) sendiri sudah membuat lawatan ke Singapura untuk bertemu dengan mereka (pengendali), dan mempunyai penglibatan secara langsung. Jadi apa-apa isu mereka boleh berhubung terus dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Sumbangan Pelajar Cemerlang Peringkat Parlimen Kulai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra, di sini, hari ini.

Kelmarin, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan dilaporkan berkata, kerajaan menegaskan pelesenan media sosial hanya terpakai untuk pengendali platform itu dan bukannya kepada pengguna atau pempengaruh.

Fahmi dilaporkan berkata, ini berdasarkan garis panduan yang dibina bersama-sama dan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mana-mana platform yang tidak mempunyai lesen selepas 1 Januari 2025 boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 126 akta berkenaan.

Sekiranya didapati bersalah penyedia perkhidmatan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.- MalaysiaGazett