Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diadakan susulan penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zin yang meninggal dunia Jumaat lalu.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan pada 13 Ogos ini bagi membincangkan pelaksanaan PRK DUN Mahkota.

“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada YB Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Speaker Dewan Negeri Johor mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota berikutan kematian penyandangnya.

“Berdasarkan Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, Bahagian Kedua, Fasal (5) Perkara 23,
kekosongan luar jangka tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari SPR menerima pemakluman telah berlakunya kekosongan tersebut.

“Sehubungan itu, satu Mesyuarat Khas PRK Dewan Negeri N.29 Mahkota, Johor akan diadakan pada 13 Ogos 2024.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sharifah Azizah, 63, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, pukul 12.32 tengah hari kelmarin.

Anak kelahiran Kluang itu yang lahir pada 8 Disember 1960 merupakan Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993 hingga kini dan pernah menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO Johor (2015-2018).

Beliau menang kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu. – MalaysiaGazette