Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar

KUALA LUMPUR- Lelaki tempatan yang ditahan polis susulan penculikan seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui di Eko Galeria, Johor, 20 Julai lalu, ditahan semula.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, tangkapan dibuat bagi membantu siasatan ekoran penemuan pelbagai sex toys, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediaman suspek di Kulai.

Menurut Kumar, Siasatan dijalankan di bawah peruntukan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana mengakses atau memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

Manakala bagi Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Sehubungan itu katanya, masyarakat terutamanya golongan ibu bapa dinasihati agar sentiasa memantau aktiviti, perkembangan emosi serta fizikal anak-anak supaya perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dikesan lebih awal dan penjenayah dapat dibawa kemuka pengadilan.

Sebarang maklumat mengenai kejadian boleh disalurkan ke talian hotline polis johor di talian 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-2212999.- MalaysiaGazette