Kumar melakukan pemeriksaan barisan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Mei 2025 di Padang Kawad, IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sumbangan RM30,295 diserahkan kepada waris anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam tragedi kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sumbangan daripada polis negeri itu berjaya dikumpulkan menerusi derma kilat yang dilancarkan selepas kejadian itu membabitkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor.

“Sumbangan akan diserahkan kepada pucuk pimpinan di Bukit Aman pada minggu depan, sebelum diagihkan kepada keluarga mangsa.

“Selepas menerima berita mengenai nahas jalan raya yang meragut nyawa rakan-rakan FRU, kita melancarkan derma kilat bagi memberikan sedikit bantuan.

“Sehingga semalam, kita berjaya mengumpulkan RM30,295 dan saya sendiri akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan dalam masa terdekat untuk diagihkan kepada keluarga mangsa yang terkorban.

“Semoga ia sedikit sebanyak dapat bantu ringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui pada Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis Ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Pada 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh, Perak, dilaporkan maut selepas trak dinaiki mereka yang dalam perjalanan pulang selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan batu.

Dalam kemalangan itu, sembilan lagi anggota FRU yang berada dalam trak berkenaan dilaporkan cedera.

Sementara itu, seramai 250 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Johor bakal menderma darah pada program derma darah yang juga acara tahunan pasukan itu.

Kumar berkata, tahun lalu, sebanyak 110 pek darah berjaya dikumpul dan menjangkakan kutipan tahun ini akan berlaku penambahan.

“Tiap-tiap tahun kita adakan program derma darah ini dan setakat ini 100 pegawai dan anggota sudah mendaftar.

“Jika tahun 2024 berjaya kutip 110 pek, kita anggar akan buat kutipan lebih daripada itu pada tahun ini. Program ini diadakan sehingga pukul 3 petang ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast