Datuk Marzuki Mohamad. Foto FAREEZ FADZIL, 13 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi kononnya Bersatu ditubuhkan hasil idea bekas Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang disifatkan sebagai merepek.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, Mohd Puad tidak layak untuk bercakap mengenai idea penubuhan Bersatu.

Katanya, Mohd Puad terpaksa mencipta idea tersebut kerana Perikatan Nasional (PN) semakin diterima orang Melayu dan ahli  UMNO semakin menolak kerjasama dengan DAP.

Justeru beliau menggesa Mohd. Puad tidak merendahkan martabat sebagai seorang ahli politik yang berpendidikan tinggi.

“Dari mana dia dapat idea yang Bersatu adalah cetusan idea Lim Kit Siang? Saya pun tak tahu. Yang pasti Puad dah bankrap idea melihat Bersatu dan Pas menerusi Perikatan Nasional telah mengatasi UMNO dalam meraih sokongan orang Melayu.

“Kenapa? Sebab orang Melayu termasuk orang UMNO sendiri tak suka UMNO bekerjasama dengan DAP. Ada perwakilan UMNO dalam persidangan bahagian mereka pun terang-terang bercakap tak suka kepada DAP.

“Jadi Puad cipta ‘idea’ yang merepek ini untuk mengaburi mata ahli-ahli UMNO. Kononnya BERSATU lebih buruk daripada UMNO. Come on lah Datuk Puad. Don’t be a low class politician. Awak berpendidikan tinggi,” katanya.

Sementara itu Marzuki berkata, Bersatu sudah melepasi fasa kerjasama dengan DAP dan sudah tahu kebaikan dan keburukan bergabung dengan parti tersebut dengan mendakwa lebih banyak mendatangkan impak negatif.

Bersatu terpaksa membuat keputusan keluar daripada Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 disebabkan impak buruk hasil kerjasama dengan DAP pada 2020.

“Maka terpelantinglah DAP daripada Kerajaan Persekutuan. UMNO-lah yang kutip balik DAP masuk dalam kerajaan selepas PRU-15 dan menjadikan DAP “raja” dalam kerajaan manakala UMNO pula menjadi “kuli” saja. Ikut saja apa kehendak DAP.

“Sekarang perjuangan UMNO telah dirosakkan oleh DAP. Orang-orang UMNO pun sedar akan hakikat ini.

“Persoalannya, adakah UMNO akan meninggalkan DAP untuk menyelamatkan perjuangannya sepertimana yang telah dilakukan oleh Bersatu dan Pas pada suatu masa dahulu?” tanya Marzuki.

Katanya, Mohd Puad perlu memikirkan kesan buruk terhadap UMNO berikutan kerjasama dengan DAP dan bukannya melemparkan tuduhan yang tak masuk akal terhadap Bersatu demi menutup kelemahan sendiri.

Dalam satu perkongsian hari ini, Mohd. Puad mendakwa Bersatu lahir hasil cetusan idea Kit Siang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast