Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat pengangkutan barangan darat yang tersenarai di bawah 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan boleh memohon bagi mendapatkan subsidi menerusi Budi Madani MySubsidi Diesel, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0.)

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, kesemua permohonan yang diterima dan diisi dengan lengkap boleh diluluskan serta-merta.

Katanya, setakat ini sebanyak 259,141 kenderaan yang melibatkan 93,035 syarikat telah diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS.

“Manakala bagi negeri Pahang, sebanyak 5,068 syarikat dan 11,445 kenderaan telah diluluskan permohonan diesel bersubsidi setakat 31 Julai 2024,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau memaklumkan mengenai perkara itu selepas mengadakan sesi walkabout dan libat urus SKDS 2.0 MySubsidi Diesel bersama kira-kira 400 peniaga dan pengunjung di Pasar Tani UTC Kuantan, Pahang hari ini.

Sementara itu, Fuziah berkata, sejak pelaksanaan Ops Kesan 2.0, sebanyak 24,154 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara dengan 244 notis bertulis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP) telah dikeluarkan kepada peniaga.

Katanya, mereka perlu memberikan penjelasan berkaitan kewajaran tindakan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan susulan perubahan harga diesel.

“Bagi negeri Pahang, 2,141 premis telah diperiksa dan 19 notis bertulis telah dikeluarkan setakat 3 Ogos 2024. Setiap peniaga tersebut diminta untuk mengemukakan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.

“Justeru, pihak kementerian ingin memberi amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang telah dilaksanakan kerajaan,” ujarnya.

Tegas beliau, mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan oleh KPDN terutamanya di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan/syarikat, manakala sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada masa yang sama beliau berkata, KPDN menghargai kerjasama yang telah diberikan oleh peniaga-peniaga yang patuh dan beretika serta tidak melakukan aktiviti pencatutan atau menaikkan harga sewenang-wenangnya selari dengan penetapan harga baru diesel di pasaran. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast