Mohd Zuhan (tengah) bersama-sama kepimpinan tertinggi Amanah Kawasan Kluang menunjukkan kenyataan media berhubung pendirian parti itu untuk bertanding PRK DUN Mahkota, dalam sidang akhbar di Taman Maju, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Kluang mendesak pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk memilih calon parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, pihaknya sudah memiliki tiga senarai nama calon untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan supaya desakan itu dapat dipertimbangkan.

“Amanah memilih untuk bertanding dalam PRK DUN Mahkota kerana kerusi di kawasan tersebut sebelum ini pernah dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada tahun 2018.

“Amanah pernah mewakili PH pada PRU14 walaupun ketika itu dianggap mustahil (untuk Amanah menang) oleh UMNO dan Pas sebagai pihak lawan.

“Kita yakin mampu menang sekiranya bertanding PRK DUN Mahkota kali ini berdasarkan sokongan serta keyakinan rakyat Kluang selain kajian dan data yang dilakukan selepas PRU15.

“Dengan analisis dibuat di peringkat kawasan menunjukkan kami boleh menang selesai. Sama ada dua penjuru atau tiga penjuru, kita yakin boleh menang.

“Amanah menang semasa PRU14 kerana peratus yang keluar mengundi tinggi sekitar 80 peratus manakala pada pilihan raya negeri (PRN) Johor peratusan keluar mengundi rendah sekitar 50 peratus sahaja.

“Selain itu Amanah Kawasan Kluang mahu bertanding juga atas kehendak akar umbi,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Maju, di sini, hari ini.

Katanya, Amanah Kawasan Kluang juga mengambil keputusan untuk bertanding kerana tidak puas hati dengan kerjasama antara PH dan BN di peringkat kerajaan negeri kerana tiada wakil daripada PH.

Jelasnya, tiada wakil Amanah dan PH yang dilantik menjadi Exco Kerajaan Johor malah di peringkat kawasan tiada pemimpin mereka dilantik menjadi ahli majlis, ketua kampung serta ketua masyarakat.

Beliau mendakwa, hubungan PH dan BN di negeri ini tidak selari dengan kerjasama seperti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat apabila semua parti komponen berkongsi kuasa dalam pentadbiran kerajaan.

Pada masa sama kata beliau, pihaknya tidak berpuas hati dengan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkenaan usul yang diketengahkan dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian berkenaan bulan lalu.

“Kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kluang itu yang menyatakan secara terbuka tidak mahu bekerjasama dengan salah satu rakan komponen PH (iaitu DAP) sangat mengguris hati pendokong dan pendokong akar umbi.

“Ini telah membuka ruang kepada musuh untuk memecahbelahkan PH dan BN di Kluang khususnya dan Johor secara amnya,” ujar Mohd Zuhan.

Menurut beliau, keputusan pihaknya untuk bertanding PRK DUN Mahkota tidak dimaklumkan kepada pucuk pimpinan peringkat negeri dan Pusat.

Bagaimanapun katanya, Amanah Kawasan Kluang akan akur sekiranya pucuk pimpinan PH dan BN tidak memilih calon parti berkenaan dalam PRK DUN Mahkota nanti.

“Bergantung kepada ketetapan yang dibuat kepimpinan tinggi di peringkat negeri dan Pusat. Bagaimanapun kita bersedia terhadap sebarang kemungkinan sekali pun, sama ada dua atau tiga penjuru,” ujarnya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri DUN Mahkota, Johor pada 13 Ogos ini, untuk membincangkan pelaksanaan PRK DUN berkenaan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dilaporkan berkata ini susulan SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) dilaporkan bersiap siaga untuk menghadapi PRK Mahkota susulan kematian penyandang kerusi berkenaan.

Pengerusi BN ,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, BN akan bersiap siaga selepas PRK Nenggiri untuk hadapi PRK Mahkota.

Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon WARISAN, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.

Pada PRU14 pula, calon Amanah yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhammad Said Jonit menang kerusi DUN Mahkota dengan meraih 19,507 undi dan meraih majoriti 1,668.

Muhammad Said menewaskan calon BN, Datuk Jais Sarday yang meraih 17,839 undi dan calon Pas, Hasbullah Najib yang mendapat 3,092 undi.- MalaysiaGazette