Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terkini oleh rejim zionis Israel yang menyasarkan dua sekolah di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu sekolah Hassan Salama dan al-Nasr di Gaza.

Serangan biadab tersebut mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 30 orang awam, yang majoritinya kanak-kanak, dan ramai lagi yang cedera.

“Malaysia menuntut tindak balas yang lebih konkrit dan berkesan daripada masyarakat antarabangsa, khususnya mereka yang memperjuangkan peraturan perintah antarabangsa, terhadap rejim zionis Israel yang masih dan terus bertekad untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan dan memusnahkan Gaza,” kata Wisma Putra dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, rejim zionis jelas menunjukkan kepada dunia keangkuhannya dengan mengabaikan seruan antarabangsa bagi gencatan senjata seperti yang digariskan dalam Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 (2024), dan untuk menghormati semua undang-undang antarabangsa, dan kemanusiaan antarabangsa, serta hak asasi manusia.

Menurut Wisma Putra, Malaysia akan terus berpegang teguh kepada komitmen terhadap perjuangan Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara-negara yang sepemikiran untuk kemasukan negara Palestin ke PBB sebagai anggota penuh. – MalaysiaGazette