Suspek kes culik kanak-kanak perempuan direman semula bagi menbantu siasatan di Mahkamah Majistret Kulai, hari ini

JOHOR BAHRU – Suspek kes culik kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui yang ditahan semula semalam, direman enam hari.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Kulai, Azureen Sahira Sauffe Afandi bermula hari ini hingga Sabtu ini selepas membenarkan permohonan dibuat pegawai penyiasat kes.

Tempoh tahanan reman itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan terhadap suspek lelaki berusia 31 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang ditahan semula polis dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai dekat sini, untuk mendapatkan perintah tahanan reman itu.

Semalam, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, polis membuat tangkapan semula ke atas suspek itu susulan penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediaman suspek dekat Kulai.

Tempoh reman suspek yang keseluruhannya selama 13 hari bagi siasatan kes penculikan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 tamat semalam dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sebelum tangkapan semula dibuat.

Lelaki itu adalah suspek kelima yang ditahan susulan kes penculikan Albertine Leo yang dilaporkan hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri, 20 Julai lalu.

Suspek ditahan pukul 4.45 pagi, 23 Julai lalu, di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor, ketika polis menyelamatkan kanak-kanak perempuan berkenaan di lokasi itu.

Empat suspek lain berusia 28 hingga 55 tahun yang ditahan sebelum itu direman empat hari sehingga 26 Julai lalu, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan tempoh reman terhadap mereka tidak disambung.- MalaysiaGazette