Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan hadir ke mahkamah atas didakwa berhubung Projek Inisiatif Jana Wibawa dan rasuah RM2 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 23 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini dimaklumkan setakat ini belum ada keputusan representasi berkaitan permohonan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad untuk membatalkan 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, tarikh baharu bagi status representasi berkenaan akan diperoleh daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 28 Ogos ini.

“Saya mohon budi bicara mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi keputusan representasi itu. Saya juga mohon untuk mahkamah tangguh dulu prosiding yang sepatutnya bermula esok,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin.

Keputusan permohonan representasi itu sepatutnya dimaklumkan hari ini namun AGC masih belum membuat keputusan.

Permohonan penangguhan prosiding esok juga tidak mendapat bantahan peguam bela mewakili Adam, Datuk Seri Rajan Navaratnam.

Pada tahun lalu, Adam Radlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung enam tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.6 juta.

Pada 22 Februari tahun lalu, beliau didakwa atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta sebagai upah bagi membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd mendapatkan dua projek.

Ahli perniagaan itu juga berhadapan tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen sebelum ini. – MalaysiaGazette