PEKAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meluangkan masa menziarah keluarga yang terbabit dalam tragedi rumah dirempuh treler dalam kejadian Sabtu lalu.
Dalam kunjungan itu, baginda berkenan mengurniakan sumbangan kepada kedua ibu bapa mangsa iaitu, dan Nasruddin Othman, 60 dan Norrulaini Mohd Hassan, 54, menerusi anak sulung mereka Mohd Fakhrul Hafis, 35.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32 ditemukan meninggal dunia di dalam biliknya akibat tersepit di bawah kepala lori terbabit.
Manakala Mohd Waldon Faris, 21, pula menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.
Mohd Fakhrul yang tiada ketika kejadian berkata, baginda Sultan Pahang sempat menasihatinya agar melakukan prosedur undang-undang terhadap pihak terlibat seperti pemandu dan pemilik syarikat lori treler tersebut.
Selain itu, baginda turut menitahkan agar rumah mereka yang ranap itu dibina semula.
“Tuanku ucap takziah, kemalangan tu memang dasyat la sehingga melibatkan dua nyawa. Tuanku tengok rumah dan kata akan cuba baiki apa yang patut rumah ni,” katanya kepada media ketika ditemui di sini hari ini.
Buat masa ini, kata Mohd Fakhrul, ibu bapanya tinggal di rumah miliknya yang terletak tidak jauh daripada rumah mereka itu.
Dalam pertemuan itu, dia berharap agar pihak berkuasa membina penghadang jalan yang tinggi di jalan berkenaan bagi mengelakkan tragedi sama berulang lagi.
Turut hadir ketika kunjungan tersebut adalah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nizar Najib dan Datuk Sabariah Saidan; Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali; Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dan Pengarah Bomba Pahang, Datuk Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa. – MalaysiaGazette