Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Fokus pembentangan Belanjawan Madani 2025 pada Oktober depan akan memberi tumpuan kepada usaha menangani kebimbangan rakyat dalam soal kos sara hidup yang semakin meningkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat kini resah dengan beban kenaikan harga barang dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan tersebut.

“Saya tidak nafikan (kenaikan kos sara hidup) walaupun saya boleh sebut gula, minyak paling murah, tepung, paling murah, tapi bagi rakyat Malaysia masih rasa terbeban (dengan kenaikan harga barang)

“Dia (rakyat) tak banding dengan Singapura dan Indonesia. Jadi saya minta dalam belanjawan ini (Belanjawan 2025), selain daripada isu-isu yang kita bincangkan, hari ini juga kita usahakan masalah kartel, monopoli dan punca apa harga barang naik.

“Dari segi baja, benih dan semuanya harus kita tangani di mana Kementerian Kewangan terutama perancang memikirkan rentas kementerian,” katanya dalam ucapan sempena himpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah dan timbalannya, Lim Hui Ying.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Kementerian Kewangan harus menggerakkan perancangan rentas kementerian dalam penguatkuasaan dan dasar yang akan lebih difahami rakyat.

“Tidak mungkin kita tidak boleh cari kaedah dan jalan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. Kos ini meningkat antaranya disebabkan ketirisan, rasuah, penyeludupan dan keuntungan berlebihan melalui kegiatan kartel.

“Apakah boleh kita pada peringkat ini dengan ekonomi lebih kukuh dan ampuh mula menerobos ke bidang yang kita anggap penting bagi negara kita,” katanya lagi.

Belanjawan Madani 2025 akan dibentangkan Anwar pada 18 Oktober di Parlimen.

Sebelum ini, Anwar berkata, Belanjawan Madani 2025 akan terus menumpukan aspek penanda aras disasarkan dalam kerangka Ekonomi Madani, termasuk membolehkan Malaysia menjadi ekonomi utama di Asia Tenggara.

Katanya, Belanjawan Madani Ketiga 2025 akan dimulakan dengan beberapa asas termasuk usaha menaikkan siling dan lantai yang akan memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast