Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan antara agensi kerajaan yang paling aktif dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ialah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

CIDB berada bawah Kementerian Kerja Raya yang diterajui oleh Menteri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, sebanyak 12 kementerian ketika ini sudah mempunyai TVET.

“Untuk itu, saya amat berterima kasih kepada 12 rakan menteri dengan 12 kementerian ini mempunyai TVET dan antara TVET paling aktif adalah daripada Kementerian Kerja Raya di bawah CIDB.

“Majlis TVET Negara kini mempunyai sekretariatnya sendiri dan diletakkan di bawah Pejabat Timbalan Perdana Menteri susulan langkah-langkah penyelarasan yang dilakukan.

“Ini menunjukkan keseriusan kerajaan dan semestinya saya sendiri sentiasa melakukan penyelarasan, pemantauan dan tindakan susulan dengan melihat segala perincian tentang pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Slogan ‘CIDB Peneraju TVET Pembinaan’ bersempena dengan Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) & CIDB Technologies 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Malaysia Ir Yusof Abd Wahab.

Ahmad Zahid sekali lagi menekankan betapa pentingnya TVET sebagai tunjang pembangunan negara selaras dengan Dasar TVET Negara 2030 yang memperuntukan bajet tambahan sebanyak RM200 juta.

Ketika bercakap tentang majlis pelancaran slogan CIDB, kata Ahmad Zahid, inisiatif itu mencerminkan peranan CIDB sebagai peneraju dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor pembinaan di negara ini.

CIDB mewujudkan Constuction Skills Qualifications Framework (CSQF) dengan menyediakan kerangka berstruktur pembangunan kemahiran dalam industri pembinaan, memperkukuhkan peranan CIDB sebagai badan pensijilan serta pusat rujukan utama program latihan TVET.

Ahmad Zahid mahu semua institusi TVET seluruh negara yang menawarkan program berkaitan pembinaan untuk merujuk kepada CIDB, bagi memastikan sijil kemahiran yang dikeluarkan mereka melalui proses persetaraan dan akreditasi oleh badan itu.

“Menerusi CSQF, pelbagai penambahbaikan dilaksanakan CIDB seperti memperoleh Standard Pensijilan ISO/IEC 17024:2012; memperkasakan bahan pengajaran dan pembelajaran, membangunkan usahawan TVET Pembinaan selain memberi fokus kepada latihan berimpak tinggi.

“Kejayaan pelaksanaan CSQF akan menjadikan CIDB sebagai pusat TVET industri pembinaan dan meletakkan Malaysia sebagai hab profesional mahir dalam arena pembinaan global, sekali gus menepati Visi TVET Malaysia Madani untuk menjadi negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 150 graduan termasuk 15 lepasan cemerlang menerima Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) terdiri daripada pelbagai tred kemahiran antaranya penjaga jentera (chargeman), operasi kren, pemasangan paip gas serta kimpalan paip dan perancah. – MalaysiaGazette