Oplus_131072

PUTRAJAYA – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bertindak mengunci mulut susulan tindakan kepimpinannya di Kluang mendesak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memberi laluan kepada parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Beliau bagaimanapun berkata, soal kerusi yang dimenangi BN dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) pada 2018 itu perlu dirujuk kepada presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum dibawa kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Kena tanya Pengerusi Johor, tanya Presiden (Amanah),” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya  hari ini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain mendesak pucuk pimpinan PH dan BN memilih calon parti itu bertanding dalam PRK DUN Mahkota, Johor.

Mohd Zuhan berkata, pihaknya sudah memiliki tiga senarai nama calon untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan supaya desakan itu dapat dipertimbangkan.

Ahad lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas PRK DUN Mahkota, Johor pada 13 Ogos ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia susulan pemakluman rasmi diterima pihaknya daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) dilaporkan bersiap siaga untuk menghadapi PRK Mahkota susulan kematian penyandang kerusi berkenaan.

Pada PRN15 di Johor pada Mac 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah menang kerusi DUN Mahkota memperoleh 16,611 undi dengan majoriti sebanyak 5,166.

Beliau menewaskan calon PH, Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi. – MalaysiaGazette