Potret Ismail Haniyeh. AFP
KONFLIK antara Israel dan Hamas terus menjadi isu utama dalam perbincangan antarabangsa, terutama selepas pembunuhan Ismail Haniyeh, seorang pemimpin politik Hamas, yang dibunuh oleh serangan zionis di kediamannya ketika lawatannya ke Tehran, Iran semalam bersamaan Rabu 31 Julai 2024.
Menurut anaknya, Abdul Salam Haniyeh sebelum ini Israel telah melakukan empat kali percubaan untuk membunuh ayahnya sepanjang karier politiknya.
Bahkan sebelum pembunuhannya, beberapa siri pembunuhan telah disasarkan kepada keluarganya di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Pembunuhan ini menimbulkan persoalan serius mengenai kepatuhan terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya dalam konteks pelanggaran kedaulatan negara dan prinsip tidak campur tangan.
Ia juga akan lebih menyukarkan sebarang perjanjian damai dan pengantaraan di antara Palestin dan Israel.
Ismail Haniyeh adalah pemimpin politik Hamas yang berperanan penting dalam strategi dan keputusan organisasi tersebut sejak Hamas mengambil alih Gaza pada tahun 2007.
Tanggapan Antarabangsa
Pembunuhan Ismail Haniyeh telah mendapat reaksi pelbagai pihak di peringkat antarabangsa. Beberapa negara dan organisasi hak asasi manusia telah mengkritik tindakan ini sebagai pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.
Mereka berpendapat bahawa tindakan tersebut berpotensi untuk meningkatkan ketegangan dan mencetuskan lebih banyak keganasan di rantau yang sudah bergolak.
Malaysia, Turkey dan China adalah antara negara yang mengutuk pembunuhan ini dan menyatakan kerungsingan berkaitan konflik di palestin yang dijangka akan terus berlarutan dengan tindakan Israel yang sering melangkaui undang-undang antarabangsa.
Kedaulatan negara dalam undang-undang Antarabangsa
Kedaulatan merujuk kepada kuasa eksklusif sesebuah negara ke atas wilayahnya dan prinsip tidak campur tangan oleh kuasa luar dalam hal ehwal dalam negerinya.
Dalam undang-undang antarabangsa, menghormati kedaulatan sesama negara adalah penting untuk mengekalkan ketenteraman dan keamanan antarabangsa. Prinsip ini adalah berdasarkan undang-undang adat antarabangsa (customary international law) dan juga diktiraf dalam as Siyar iaitu prinsip undang-undang Islam dalam hubungan antarabangsa.
Prinsip kedaulatan mengawal hubungan antara negara dan menggalakkan kewujudan bersama (co-existence) secara aman.
Sebarang tindakan luar, seperti campur tangan tentera atau pembunuhan yang disasarkan, dalam sempadan negara tanpa persetujuan sesebuah negara berdaulat boleh dianggap sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa.
Prinsip tidak campur tangan adalah aspek asas kedaulatan negara. Ia melarang satu negara daripada campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain, terutamanya melalui cara kekerasan. Prinsip ini termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Perkara 2(4)) dan merupakan asas perhubungan antarabangsa.
Ini adalah prinsip asas yang dijunjung oleh semua negara-negara dalam Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dituntut oleh piagam tersebut untuk memastikan keamanan dan keselamatan global.
Walau bagaimanapun, sebagaimana alasan Israel menyerang Gaza untuk mempertahankan keselamatan negaranya dan sebagai tindakan mempertahan diri, pembunuhan Ismail Haniyeh juga disebabkan beliau dianggap figura pengganas Hamas yang merupakan ancaman yang signifikan kepada keselamatan negara Israel.
Bagi Israel, pembunuhan tersebut adalah langkah yang diperlukan untuk melindungi rakyat Israel dari potensi serangan. Israel berpendapat bahawa tindakan tersebut adalah sebahagian daripada operasi ketenteraan yang sah di bawah undang-undang antarabangsa.
Bidang Kuasa Sejagat (Universal Jurisdiction)
Resolusi-resolusi PBB, pendapat penasihatan (advisory opinion) mahkamah keadilan antarabangsa (ICJ) 2004 dan yang terkini Julai 2024 serta dapatan-dapatan lain menunjukkan bahawa Israel sering melanggar dan mencabuli undang-undang antarabangsa sejak kewujudan negara itu.
Penubuhan negara Israel pada tahun 1948 juga dikatakan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Ianya diiktiraf sebagai negara kerana pengiktirafan dan sokongan yang diberikan oleh kuasa-kuasa besar dalam PBB iaitu Amerika Syarikat dan Britain.
Artikel ini menumpukan isu pembunuhan Ismail Haniyeh dan kesannya terhadap pencabulan kedaulatan negara di bawah bidang kuasa sejagat dalam undang-undang antarabangsa.
Bidang kuasa sejagat adalah prinsip dalam undang-undang antarabangsa yang membolehkan sesebuah negara mendakwa individu yang terlibat dalam jenayah antarabangsa, tanpa mengira tempat kejadian jenayah atau kewarganegaraan pelaku.
Prinsip ini memainkan peranan penting dalam menangani jenayah serius rentas sempadan. Prinsip bidang kuasa sejagat ini telah dibincangkan sejak jenayah perlanunan yang dahulunya merupakan jenayah antarabangsa tertua yang mendapat jolokan jure gentium.
Istilah jure gentium adalah bahasa Latin untuk “law of nations” yang digunakan oleh Cicero untuk menggambarkan lanun di Empayar Rom.
Dalam konteks jenayah antarabangsa sekarang,  negara-negara tidak cenderung mengguna pakai bidang kuasa sejagat secara melulu kerana menjaga kedaulatan negara maing-masing.
Negara-negara akan cuba memastikan mereka mempunyai undang-undang tempatan yang membolehkan penguatkuasaan dan pendakwaan jenayah yang melibatkan entiti asing, perjanjian extradisi dan juga menjadi ahli konvensyen antarabangsa seperti Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court)(ICC).
Jenayah antarabangsa moden yang mengharuskan pemakaian bidang kuasa sejagat hanya sekiranya ia melibatkan jenayah terhadap kemanusian (crime against humanity), jenayah genosid, jenayah perang dan penyeksaan.
Undang-undang antarabangsa mengakui bahawa jenayah-jenayah ini adalah sangat serius sehingga kewajipan untuk mendakwanya melangkaui sempadan, membolehkan bidang kuasa sejagat ke atas jenayah berat yang melanggar undang-undang antarabangsa.
Prinsip bidang kuasa sejagat adalah berdasarkan idea bahawa, oleh kerana pelaku yang melakukan jenayah kejam adalah hostis humani generis (musuh semua umat manusia), yang demikian, mana-mana negara adalah berbidang kuasa untuk mempertanggungjawabkan mereka, tidak kira di mana jenayah itu dilakukan atau kewarganegaraan pelaku atau mangsa.
Kelemahan undang-undang antarabangsa
Konflik dan serangan tidak putus-putus Israel ke atas Gaza dan wilayah palestin di Tebing Barat dan Jerusalem menyaksikan kelemahan undang-undang antarabangsa dan PBB sebagai organ utamanya. Ini kerana setiap pelanggaran dan pencabulan peraturan dan perundangan oleh Israel telah gagal diambil tindakan sewajarnya oleh badan itu.
Dunia sangat bergantung kepada Majlis Keselamatan PBB dan tindakan bersifat penguatkuasaan oleh negara-negara kuasa besar dunia yang diberikan kuasa veto dalam piagam tersebut.
Selain itu, penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 2002 yang bertujuan menjadi satu tribunal tetap untuk membicarakan kes jenayah antarabangsa dan diberi kepercayaan sebagai institusi penting yang berperanan mendakwa individu yang terlibat dalam jenayah antarabangsa serius juga gagal menjalankan fungsinya sehingga kini.
ICC telah membicara ramai pelaku dalam kalangan ketua-ketua negara atau ketua pemimpin yang telah melanggar undang-undang jenayah yang serius. Walaupun pada Mei 2024, ketua pendakwaan ICC telah mengumumkan permohonan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel , Yoav Gallant serta tiga pemimpin Hamas termasuk Ismail Haniyeh, sehingga kini tiada sebarang tindakan yang telah diambil.
Perdana Menteri Israel juga dilihat tidak menghiraukan amaran ICC berkaitan kemungkinan pendakwaannya sebagai penjenayah perang dan genosid. Lawatan Netanyahu ke Amerika Syarikat baru-baru ini untuk meraih sokongan dan memberi ucapan di hadapan Kongress Amerika telah mendapat kecaman yang hebat dari komuniti sejagat terutamanya rakyat Amerika yang melihat ini sebagai persubahatan Kerajaan Amerika dalam kekejaman Israel dan genosid di Gaza.
Pencabulan undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara oleh Israel
Pencabulan terhadap kedaulatan negara lain yang dilakukan oleh Israel dalam kes pembunuhan Ismail Haniyeh bukanlah yang pertama. Pada tahun 1960, badan perisik Israel, telah menculik Adolf Eichman di Argentina, menyeludupnya ke Israel dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya pada jun
1962 atas sabitan jenayah perang. Israel juga melakukan serangan ke atas Syria dari semasa ke semasa, dengan alasan bahawa operasinya bertujuan menentang kehadiran tentera Iran di republik Arab itu. Damsyik mengutuk serangan sedemikian sebagai pencabulan kedaulatan negara Syria.
Israel juga telah terlibat dalam beberapa insiden pembunuhan yang melibatkan pemimpin atau individu yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara mereka. Beberapa contoh pembunuhan yang dilakukan oleh Israel terhadap pemimpin atau individu penting termasuk pembunuhan Sheikh Ahmed Yassin, pemimpin Hamas yang terkenal dan merupakan salah seorang pengasas gerakan tersebut.
Pada 22 Mac 2004, Israel melancarkan serangan udara yang membunuh Sheikh Ahmed Yassin, seorang orang kelainan upaya (OKU), semasa beliau keluar dari masjid selepas solat Subuh di Gaza. Israel mendakwa bahawa Sheikh Ahmed Yassin adalah salah seorang pereka utama serangan terhadap Israel.
Pembunuhan Mahmoud al-Mabhouh, seorang pemimpin kanan dalam Hamas yang dibunuh di Dubai pada 19 Januari 2010. Walaupun pembunuhan ini tidak dilakukan secara langsung oleh Israel, ia telah dikaitkan dengan Mossad, agensi perisikan Israel.
Al-Mabhouh adalah sasaran kerana beliau dikatakan terlibat dalam penyeludupan senjata dan merancang serangan terhadap Israel. Seterusnya, pembunuhan Fathi Shikaki,  pemimpin Jihad Islam Palestin pada 26 Oktober 1995 di Malta dalam satu serangan yang didakwa dilakukan oleh agen-agen Mossad.
Shikaki merupakan seorang figura penting dalam perjuangan anti-Israel dan dilihat sebagai ancaman besar oleh Israel.
Kesimpulan
Kesemua tindakan-tindakan Israel yang dibincangkan di atas jelas menunjukkan pencabulan prinsip kedaulatan negara dan pelanggaran pelbagai undang-undang antarabangsa namun sehingga kini tiada tindakan tegas yang diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh Israel.
Dari perspektif undang-undang antarabangsa, penilaian terhadap keabsahan tindakan-tindakan ini sering kali bergantung kepada perspektif politik dan kedudukan ekonomi negara-negara berkuasa di dunia.
Walaupun sumber utama rujukan undang-undang antarabangsa seperti piagam PBB dan resolusinya,  keputusan atau pandangan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dianggap sebagai instrumen penting dalam memastikan keadilan dan keamanan sejagat sejak perang dunia kedua berakhir, namun peristiwa 7 Oktober 2023 dan tindakan kekejaman Israel terhadap rakyat Gaza telah menyingkap ketidakadilan dan keterbatasan pemakaian undang-undang antarabangsa.
Ini sekaligus menonjolkan hipokrasi negara-negara barat yang telah, secara langsung atau tidak langsung, bersekongkol dengan Israel dalam pencabulan undang-undang antarabangsa.
Hakikatnya, ketidak adilan dan kekejaman ini bukan baharu bermula pada tarikh tersebut, tetapi ianya telah dilakukan sejak sekian lama.
Prof. Madya Dr Hendun Abd Rahman Shah
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast